Penglibatannya tidak lain tidak bukan adalah untuk menyara kehidupannya sekeluarga.  

Sungguhpun amat mencintai dunia lakonan namun dalam masa yang sama, sebagai anak sulung daripada empat orang adik-beradik, dia berasa bertanggungjawab untuk membantu keluarganya dari segi kewangan. 

 

Enggan membiarkan insan tercinta hidup dalam serba kekurangan, Myra rela berhijrah ke Semenanjung dan meninggalkan keluarganya di Kota Kinabalu, Sabah.

“Bukan mudah pada mulanya untuk saya berpisah dengan mereka tetapi memandangkan peluang tidak mungkin datang berkali-kali, saya tekadkan hati untuk berhijrah. 

“Mujurlah ibu dan ayah merestuinya. Paling mengharukan, ibu sanggup menemani saya di sini dan terpaksa meninggalkan ayah dan adik-adik yang masih kecil demi saya.

“Selama ini hanya ayah yang bekerja untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga, kadang-kadang tidak cukup juga jadi sekarang saya bangga dapat membantu dia. 

“Setiap kali dapat duit hasil lakonan, saya akan berkongsi dengan keluarga terlebih dahulu sebelum memikirkan diri sendiri,” ujarnya lagi. 

Menyimpan hasrat untuk membelikan sebuah rumah dan kereta buat kemudahan bapa tersayang, pelakon comel ini berharap agar satu hari nanti keluarganya dapat menikmati keselesaan yang lebih di atas kerja kerasnya selama ini. 

Malah menurutnya lagi, impiannya yang paling besar buat masa ini adalah untuk membawa seluruh ahli keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur. Semuanya dilakukan agar mereka dapat bersatu kembali seperti dahulu dan tidak perlu menahan rindu kerana berjauhan.

“Kadang-kadang saya kasihankan ibu kerana terpaksa berjauhan dengan ayah dan adik-adik tetapi nak buat macam mana keadaan memaksa. 

“Lagi pula saya masih bersekolah jadi dia terpaksa menemani saya di sini sementara ayah pula menggalas tugas menjaga adik-adik di Sabah.

“Setakat ini, kalau ada masa lapang, ibu akan pulang ke Sabah untuk menjenguk mereka. Sejak turun ke bidang seni, saya jarang berpeluang untuk balik. 

“Bukan apa bila cuti sahaja, jadual saya padat dengan penggambaran dan sebagainya,” ujarnya yang turut membintangi drama Ammar & Opie bersama Awie dan Hazama yang kini sedang ditayangkan di televisyen. 

Menariknya sejak drama Ammar & Opie ditayangkan bermula penghujung September lalu, ramai yang tertanya-tanya tentang perihal gadis genit yang mesra di sapa Myra ini. 

Selain drama tersebut, dia juga pernah membintangi naskhah Ti Amo Sweetheart 100 Hari, Semusim Rindu, Hantu Punya Bos dan banyak lagi.