Kali terakhir penyanyi kelahiran Skopje, Macedonia ini datang ke Malaysia kira-kira lapan tahun lalu ketika menjayakan konsert Maher Zain di Stadium Malawati.

 

Siapa sangka, hasrat itu akhirnya dapat direalisasi menerusi projek duet bersama kumpulan nasyid popular, Inteam menerusi lagu selawat Talama Ashku.

Lebih istimewa, lagu lama tradisional bahasa Arab itu dimuatkan dalam album Balaghal Ula yang dilancarkan di negaranya baru-baru ini.

“Pengurusan saya, Awakening Records dan syarikat mereka sudah bekerjasama lebih 10 tahun. Dari situ saya mengenali Inteam sejak beberapa tahun lalu.

“Jadi saya cadangkan mereka nyanyi dalam bahasa Melayu yang mana liriknya adalah terjemahan daripada lirik bahasa Arab lagu itu,” kongsinya kepada Hits ketika kunjungan kali ketiga ke tanah air baru-baru ini.

Mengambil masa kira-kira seminggu proses rakaman, Mesut berkata, rakaman lagu itu dibuat berasingan.

Dia menjalani rakaman di studio di Istanbul, Turki sementara Inteam menjalani rakaman di sini.

“Teknologi hari ini banyak membantu pemuzik seperti kami walaupun berjauhan tetapi kita masih boleh berinteraksi dan melakukan projek bersama. Saya hantar melalui e-mel kepada Inteam dan terangkan bahagian mana yang perlu mereka nyanyi.

“Kemudian setelah siap dirakam, mereka hantar semula kepada saya sehinggalah prosesnya selesai.

“Jika ada kerjasama lain pada masa depan, saya mahu cuba menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu pula,” tuturnya yang sebelum ini pernah menyanyikan lagu dalam bahasa Urdu.

Jatuh hati

Mesut berada di Kuala Lumpur selama beberapa hari untuk mempromosikan album tersebut serta menjalani penggambaran muzik video Talama Ashk di sebuah lokasi di Negeri Sembilan.  

“Saya tidak sabar menantikan hasil muzik video lagu ini. Konsepnya istimewa, Inteam mengetengahkan budaya negara ini dan saya pula membawa budaya negara saya,” katanya.  

Dalam pada itu, Mesut berkata, dia seronok dapat kembali ke sini kerana jatuh hati pada suasana Malaysia yang aman serta masyarakat yang sangat tenang dalam menjalani rutin harian. 

“Sejak kali pertama datang, saya suka pada suasana yang menghijau dan berasakan Malaysia tidak jauh beza dengan Balkan. Walaupun Kuala Lumpur dipenuhi bangunan dan kesibukan lalu lintas, tetapi saya perhatikan masyarakat  di sini sangat tenang.  

“Tidak seperti beberapa negara lain yang saya kunjungi, mereka lebih bersikap agresif dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau pekerjaan,” kata penyanyi yang juga dikenali menerusi lagu selawat seperti Burdah, Subhanallah (bersama Maher Zain), Beloved, Adnani dan Tabassam ini.