Kehadiran Siti Aafiyah Mohd. Khalid pada Mac lalu mengubah seluruh rutin kehidupan bintang ternama ini. Bukan sedikit perubahan yang dibawa oleh Aafiyah.

Akui Siti Nurhaliza, puteri sulung itu menukar 360 darjah corak hidupnya yang selama ini banyak memfokus kepada kerjaya semata-mata.

Justeru, kehadiran Aidilfitri tahun ini bukan kecil nilainya kepada Siti Nurhaliza.

Aafiyah yang bakal mencecah usia tiga bulan menjelang Syawal nanti pasti dilimpahi dengan keperluan materialnya selain kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga.

Namun bagi Siti Nurhaliza, dia tidak betah dengan pembaziran. Justeru pemberian pakaian untuk Aafiyah daripada sahabat handai dan para peminat tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

“Pemberian kelengkapan pakaian daripada ahli keluarga, rakan-rakan termasuk pereka fesyen dan para peminat boleh dijadikan baju raya untuk Aafiyah. Masih banyak yang belum dipakai dan saya akan pilih yang bersesuaian untuk raya pertama dia nanti.

“Sebenarnya sejak berkahwin, saya dan suami, Datuk Khalid (DK) tak pernah amalkan mengenakan tema baju raya sedondon. Biasanya suami akan pilih warna berdasarkan warna-warna yang ada daripada baju saya.

“Cuma untuk kali ini, saya mahu sedondon dengan Aafiyah dari segi material. Mungkin saya akan sediakan gaun dia untuk dipakai pada hari raya ini,” kata Siti Nurhaliza yang mengakui cukup teruja untuk menyambut Syawal dengan puteri sulungnya itu.

Beruntungnya pula kerana Aafiyah adalah satu-satunya puteri dalam keluarga Khalid. Kesemua anak DK sebelum ini adalah lelaki dan cucu-cucunya juga lelaki.

“Aafiyah adalah satu-satunya puteri dalam keluarga DK. Apa pun, saya dan suami tidak mahu dia dimanjai berlebih-lebihan. Insya-Allah, kami aturkan perjalanan hidup yang baik untuk dia kelak,” katanya.

Sejak lahir ke dunia, rezeki Aafiyah tidak pernah putus-putus. Menerima pelbagai hadiah berharga daripada peminat dan ahli keluarga, barangan keperluan bayi comel itu sudah memenuhi ruang bilik tetamu rumah mereka.

“Buat sementara, kami tempatkan hadiah-hadiah Aafiyah dalam bilik tetamu tetapi suami kurang senang bila bilik tersebut menjadi terlalu penuh.

“Jadi, insya-Allah, pakaian dan barangan bayi yang berlebihan itu kami akan hadiahkan pula kepada ahli keluarga yang juga menyambut kelahiran bayi.

“Misalnya, saya menerima tujuh set kelengkapan tidur bayi. Berapa banyak yang kita boleh guna pun jadi daripada membazir dan terbiar, sebaik-baiknya saya hadiahkan pula kepada mereka yang menerima bayi baharu,” kata Siti Nurhaliza.

Menjelang setiap Syawal, Siti Nurhaliza dan DK tidak pernah lupa pulang ke kampung halaman di Kedah dan Pahang bagi menjenguk keluarga mereka. Cuma belum ditentukan kampung siapakah yang perlu dijengah terlebih dahulu.

“Aafiyah pun belum pernah berjalan jauh dengan kereta dalam tempoh masa yang panjang. Kena rancang dengan betul agar dia selesa,” kata Siti Nurhaliza yang akan membawa bayinya itu ke Jepun pada Oktober ini.

Mengenai kariernya pula, penyanyi nombor satu negara ini sudah bersedia untuk kembali aktif selepas Syawal ini.

“Dulu memang rancang untuk kembali aktif selepas Aafiyah berusia enam bulan kerana mahu mendapatkan kembali tubuh yang lebih langsing.

“Tetapi rupa-rupanya berat badan saya turun lebih cepat dari jangkaan asal. Jadi, saya membuat keputusan untuk kembali aktif selepas Syawal ini.

“Cuma untuk persembahan berskala besar hanya akan dilaksanakan pada tahun hadapan,” kata Siti Nurhaliza.