Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berpendapat, perkara itu tidak menjadi masalah sekiranya keempat-empat parti iaitu PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP sebulat suara mengenainya.

Beliau walau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh jangka masa tersebut.

“Jika keputusan bersama (persetujuan) tidak dicapai, maka pemimpin itu (Dr. Mahathir) harus akur sahaja dengan perjanjian yang telah dibuat oleh pimpinan PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Selagi tiada keputusan baharu, keputusan lama masih terpakai,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Majlis Hari Terbuka Yayasan Orphancare Sungai Petani, Taman Ria Jaya di sini hari ini.

Johari berkata, beliau akur sekiranya pimpinan PH telah berbincang dan bersepakat untuk melanjutkan tempoh Perdana Menteri ketujuh itu bagi memerintah negara ini.

“Kalau hendak memerintah lima tahun atau 10 tahun, itu bukan masalah, sebaliknya ia bergantung kepada persetujuan bersama empat pimpinan parti berkenaan.

“Kami sebagai pemimpin bawahan akur (melanjutkan tempoh pemerintahan) tetapi saya ada pandangan berbeza,” katanya yang enggan mengulas pandangan tersebut.

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bersetuju agar Dr. Mahathir memerintah sehingga habis penggal, beliau berkata, itu adalah pandangan peribadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sahaja.

Beliau secara sinis turut menyatakan rasa hairan berikutan Mohamed Azmin mengiyakan pandangan UMNO dan Pas sedangkan kedua-dua parti itu tidak berada dalam PH.

Pada 29 Julai lalu, Mohamed Azmin mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian Pas dan UMNO untuk memberikan dukungan penuh kepada Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Mohamed Azmin menegaskan, pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah dilontarkannya supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera. - UTUSAN ONLINE