Bayangkan, sehingga kini, sebanyak 161 naskhah filem telah dibintangi oleh lelaki ini yang mana hampir kesemuanya tidak pernah menghampakan peminatnya di seluruh dunia.

Apa agaknya yang membuatkan Rajinikanth kekal menjadi juara nombor satu di hati peminatnya?

Kalau ditanya, sudah tentu ramai bersetuju bahawa aksinya ketika terbabit dalam babak pergaduhan, adalah yang paling ditunggu-tunggu.

Memiliki pesona tersendiri walaupun ketika sedang bergaduh, Rajinikanth seakan-akan tidak mampu dilawan oleh mana-mana musuh sekali pun. Bahkan pernah ada yang menyebut, andai kata Rajinikanth berlakon dan wataknya dalam sesebuah filem dimatikan, filem itu diyakini akan menanggung kerugian kerana peminat tidak akan rela dengan jalan cerita seperti itu.

Malah, jangan terkejut andai ada yang mendakwa tidak mustahil panggung wayang pun boleh dibakar oleh penonton!

Begitu sekali penangan hero tua ini yang disanjung tinggi dan cukup istimewa di mata kesemua peminatnya.

Hebatnya anak kelahiran Karnataka, India ini, bait-bait katanya di dalam filem juga mampu membuatkan semua penonton berkata wow! di hujung cerita.

Dianggap bijak berkata-kata bak seorang pendeta, Rajinikanth juga sentiasa diingati dengan gaya ikonik ketika melambungkan skaf untuk diletakkan di bahu dalam mana-mana filem yang dibintangi.

Tidak cuma itu, gayanya ketika meletakkan rokok ke mulut juga dianggap antara yang menarik di mata penon­ton.

Kali terakhir muncul dengan filem Kabali yang menyaksikan Malaysia menjadi destinasi lokasi penggambaran naskhah itu, Rajinikanth sekali lagi kembali mencipta fenomenanya di sini.

Menerusi filem Petta edaran Malik Streams Corporation Sdn. Bhd, naskhah arahan Karthik Subbaraj ini berjaya memancing penonton ke pawagam. Paling menarik, bukan sahaja peminat berbangsa India malah kelompok peminat Melayu juga menyokong filem ini yang memulakan tayangannya pada 10 Januari lalu.

Menurut pemilik Malik Stream Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer ia adalah sejajar dengan hasratnya yang mahu penonton berbilang kaum datang menyokong filem Tamil dalam sebuah semangat muhibbah.

“Menurut ulasan dan komen yang saya terima dalam kalangan penonton, filem ini merupakan salah sebuah filem terbaik dan hebat dilakonkan Rajinikanth.

“Ramai mengatakan hero ini bagai kembali semula ke zaman kegemilangannya selain nampak muda 15 tahun daripada usia sebenar.

“Menerusi gayanya yang unik, bahasa badan dan cara lontaran dialog, Rajinikanth ternyata tidak pernah mengecewakan dalam memberikan komitmennya semaksimum mungkin,” katanya.

Turut gembira dengan maklum balas positif yang diterima dalam media sosial, Malik menjangkakan Petta mampu mencatatkan kedudukan pertama dalam box office di Malaysia selain di 22 buah negara lain.

- Selain Karthik, filem ini turut dibantu oleh pengarah Kalanithi Maran.

- Turut dibintangi pelakon hebat seperti Vijay Sethupathi, Simran, Trisha, M. Sasikumar, Nawazuddin Siddiqui, Bobby Simha, J. Mahendran dan Guru Somasundaram.

- Lagu-lagu di dalam filem ini dihasilkan oleh Anirudh Ravichander.

- Sempena dengan tayangan, sebuah lagu nyanyian semula (cover) daripada album runut bunyi filem ini juga dilancarkan.

- Lagu berjudul Ullala itu telah dinyanyikan oleh penyanyi tempatan Azwan dan Mu’adz.