Menurut Sangeeta yang memegang watak utama, meskipun menggabungkan kepakaran dari sudut teknikal dua buah negara iaitu Malaysia dan India namun kisah kemasyarakatan setempat yang diangkat dalam karya tersebut menjadi daya tarikan utama.

“Nilai estetika hasil garapan dan olahan sutradara Dr. Vimala Perumal ini amat bersesuaian dengan komuniti India tempatan malah turut menarik perhatian kaum berbilang bangsa di Malaysia untuk menontonnya.

“Konflik yang berlaku dalam kehidupan masyarakat India yang hidup di bandar dan di kampung diadun dengan begitu kemas selaku plot utama penceritaan.

“Bahkan pemilihan lagu-lagu hits nyanyian artis kedua-dua buah negara yang melatari filem ini juga menjadi faktor utama menyumbang ke arah kutipan tersebut,” katanya.

Tambah Sangeeta, dia berbangga apabila dapat menjadi sebahagian daripada sejarah negara dan berharap kegemilangan Vedigundu Pasangge dapat terus diangkat ke tahap paling tinggi.

Ujarnya, filem terbitan Veedu Production dengan kerjasama Astro Vaanavil yang menggandingkan dia dengan aktor Denes Kumar itu bakal dipasarkan ke pasaran global termasuk India, Sri Lanka dan Singapura.

“Lebih membanggakan, filem ini juga telah berjaya ditayangkan selama dua minggu di United Kingdom,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE