Berkongsi berita gembira ini, PU Abu ketika dihubungi memberitahu dia bersyukur untuk melihat anak dan bekas isterinya itu berada dalam keadaan sihat.

“Alhamdulillah pada tanggal 7 Jun jam 12.55 tengah hari, Ain selamat melahirkan anak kami. Ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.

“Memang saya mahu umum kelahiran anak saya ini selepas semuanya selesai. Hari ini ibu dan bayi sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Berkongsi pengalaman pertamanya menjadi seorang ayah, kongsi PU Abu sukar untuk dia menjelaskan perasaannya ketika mendakap anaknya buat kali pertama.

“Saya hanya tidak berada bersama Ain ketika di bilik bersalin sahaja tetapi saya bersyukur untuk merasai pengalaman mengazankan anak saya.

“Perasaan ketika itu bercampur baur,” kongsinya.

Sementara itu dalam Instagram miliknya, PU Abu turut berdoa agar anak sulungnya menjadi seorang anak yang soleh dan berbakti kepada Islam.

Dalam entri yang sama juga, PU Abu turut memohon maaf kepada anaknya ini sepanjang berada dalam kandungan bekas isterinya.

Mengakui banyak melakukan kesilapan, PU Abu juga turut berterima kasih kepada Afini kerana melahirkan anak mereka.

“Ayah mohon maaf sebab telah banyak buat salah pada awak di saat awak dalam kandungan.Jaga hati ummi elok-elok sebab banyak pengorbanan ummi sepanjang awak ada dalam perut ummi.

“@ainafini_ terima kasih kerana telah melahirkan anak hebat ini.Moga dia mewarisi kesabaran dan kekuatan awak sepanjang kandungkan dia,” tulisnya lagi. - UTUSAN ONLINE