Menyusuli penyanyi-penyanyi lain yang turut menggunakan medium sama bagi memastikan karya mereka dipandang, begitu juga yang diharapkan buat pemilik nama penuh Muhammad Adam Luqman Shahrom ini.

 

“Saya dan pihak label telah menghantar kepada beberapa produksi drama untuk menjadikan lagu Benci Merindu sebagai lagu latar.

“Insya-Allah, doakan yang baik-baik sahaja dan kalau kerjasama itu berhasil, pengikut karya tempatan akan dapat dengar lagu saya,” tuturnya yang bertandang ke studio Utusan Jalan Chan Sow Lin, baru-baru ini.

Tambah penuntut Diploma Seni Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu lagi, strategi yang diguna itu sekadar inisiatif untuk dia lebih bersemangat bagi menghasilkan lebih banyak karya pada masa akan datang.

Pun begitu selain memfokuskan kepada lagu latar, Adam turut menggunakan platform radio dan media bagi memperdengarkan buah tangan terbaharunya itu.

 

“Memang betul orang cakap promosi lagu dalam drama lebih cepat dan boleh dimainkan setiap kali naskhah berkenaan di tayangkan.

“Tetapi, ada baiknya juga saya turut gunakan radio dan platform YouTube untuk menguar-uarkan lagu Benci Merindu.

“Sejak dilancarkan pada Mac lalu, alhamdulillah sambutan diterima sangat menggalakkan,” katanya sejak klip videonya dimuat naik di YouTube ia telah mengumpul hampir 30,000 tontonan.

Sementara itu, berkongsi single sulungnya yang adalah ciptaan Asfan dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya, Adam, 20, melahirkan rasa syukur kerana dapat menimba ilmu dengan komposer hebat terbabit.

“Genre Benci Merindu lebih kepada balada yang lebih sinonim dengan vokal saya dan kena dengan jiwa muda.

“Saya dapat lagu ini pada Februari lalu dan bila dihayati bait-bait lirik, ia sangat dekat dengan kisah peribadi yang pernah dilalui sebelum ini.

“Moga kehadiran saya dalam industri muzik tanah air dapat diterima dan insya-Allah dengan minat yang mendalam dalam bidang ini, saya mahu menghasilkan lebih banyak karya lagi,” akhirinya yang bercita-cita bergelar jurutera muzik di samping aktif menyanyi.