Gandingan mantap komposer, Hang Nadim dan penulis lirik, Kamar Empayar ternyata membawa tuah sehingga melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Lebih menarik, usaha keras kumpulan anak-anak muda ini nyata berbaloi apabila kemunculan mereka turut berjaya mengungguli kategori

Persem­bahan Terbaik yang menawarkan hadiah wang tunai RM12,000 selain trofi.

AJL-30 dengan tema Tiga Dekad Mencipta Fenomena itu menyaksikan tempat kedua dimenangi oleh Faizal Tahir menerusi lagu Assalamualaikum.

Lagu dan lirik ciptaan Faizal, Mike Chan, Omar K, Ezra Kong dan Audi Mok itu berjaya membawa pulang trofi berserta hadiah wang tunai RM35,000.

Sementara itu, lagu Hanya Namamu nyanyian Caliph Busker meraih tempat ketiga.

Selain trofi, lagu dan lirik ciptaan Edry Abdul Halim tersebut meraih hadiah wang tunai RM20,000.

Persembahan vokal mantap sewaktu menyampaikan lagu Tak Pernah Menyerah pula melayakkan Dayang Nurfaizah memenangi kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM12,000 dan trofi.

Kesemua 12 buah lagu yang bertanding dinilai oleh barisan juri profesional terdiri daripada Edrie Hashim, Joe Flizzow, LY, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap, Manan Ngah dan Azmeer selaku ketua juri.

Dalam pada itu, bersempena tiga dekad penganjurannya, pertandingan itu buat julung-julung kali memperkenalkan Anugerah Khas AJL-30 yang diberikan kepada Tan Sri Ahmad Othman Merican dan juga Datuk Ooi Eow Jin di atas sumbangan mereka dalam industri muzik.

Malah, sebagai penghargaan kepada lagu malar segar yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu pada tahun 1998 iaitu Cindai, Pamoga Qu Puteh selaku penaja utama mengangkat lagu tersebut mengungguli Anugerah Qu Puteh Diva. - UTUSAN ONLINE