Rela menunggu waktu yang sesuai sahaja, ketika ini Hanna Aqeela lebih senang untuk berusaha keras dalam membuktikan kemampuannya dalam bidang lakonan.

Bagaimanapun bagi Hanna, dia tidak menolak dari suatu sudut yang kontroversi adalah jalan pintas untuk seseorang mengecapi populariti.

Selepas melalui sendiri pengalaman berlakon selama lima tahun tanpa kontroversi dia akui, bukan mudah sebenarnya untuk dikenali hanya berlandaskan bakat lakonan semata-mata.

“Memang tidak mudah sebenarnya, saya akui sangat-sangat susah untuk meraih populariti tanpa kontroversi. Malah pernah rakan-rakan dalam industri mencadangkan saya untuk cipta kontroversi kerana risau melihat perjalanan karier saya.

“Tetapi saya tidak melihat itu sebagai suatu keperluan. Tidak mengapa, saya masih belajar dan tidak kisah walaupun mengambil masa yang lebih lama untuk terkenal sebab saya yakin dengan rezeki,” katanya optimis.

Membahagikan kontroversi kepada dua bahagian, Hanna atau Hanna Aqeela Mohd Rosni, 28, yang kini muncul dengan filem Operasi X, dia tidak melihat perkataan itu sebagai sesuatu yang negatif sahaja.

Jelasnya, jika benar ada peluang untuk dihimpit kontroversi dia lebih rela sekiranya kontroversi yang hadir itu berbentuk positif.

“Saya tidak mahu jejaskan nama dengan kontroversi yang tidak baik, jadi tidak mengapa sekiranya nama tidak dikenali lagi. Menjaga nama itu lebih baik daripada mencipta kontroversi bukan-bukan.

“Bagaimanapun jika terlibat dengan kontroversi yang baik dan pada masa sama, mampu memberikan saya sebab untuk berbangga, rasanya tidak mengapa,” tambahnya.

Tidak terkesan jika usaha kerasnya selama lima tahun ini masih belum membuahkan hasil yang lumayan dari segi populariti, bagi Hanna tiada yang lebih menakutkan sekiranya tiada lagi tawaran berlakon.

“Soal populariti sedikit pun tidak mengganggu sebab tujuan utama saya terjun dalam bidang ini adalah kerana minat yang mendalam. Buat masa ini juga, tidak pernah terfikir soal putus asa daripada terus bergelar seorang pelakon.

“Selagi ada tawaran, saya akan terus berusaha membina nama dengan laluan yang betul,” katanya.

Bukan sesuatu yang sukar untuk mencipta kontroversi, antara yang sering kali dilakukan pelakon muda masa kini untuk dikenali dengan cepat adalah kisah cinta lokasi.

Bertanyakan hal ini kepada Hanna, dia akui, semuanya terletak kepada keupayaan seseorang untuk sentiasa bersikap profesional.

“Saya tidak pernah terfikir soal itu memandangkan saya mengamalkan sikap profesional di dalam mahupun di luar set. Terlibat dengan cinta lokasi ini semuanya bergantung kepada kemahuan dan niat sendiri sebenarnya,” katanya.

Hati sudah dimiliki

TIDAK berselindung memberitahu hatinya kini sudah dimiliki, pelakon drama I Love You, Mr Arang ini bagaimanapun menafikan yang dia sudahpun memikirkan untuk menamatkan zaman bujangnya pada waktu terdekat.

“Kami sudah berkawan selama lima tahun, bagaimanapun buat masa ini belum terfikir ke fasa berbeza lagi. Mujur juga dia seorang yang memahami, malah pada waktu ini juga kami sibuk dengan kerjaya masing-masing,” katanya.

Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hanna juga memberitahu, dia tidak akan mensia-siakan ilmu dalam bidang tersebut malah sudah mempunyai perancangan masa depan yang cukup padat.

“Memang saya tidak akan sia-siakan ilmu yang dipelajari, sebab itu suatu hari nanti saya akan gunakan ilmu ini. Secara logik suatu hari nanti juga akan ada lebih ramai pelakon baharu jadi ketika itu adalah waktu yang sesuai untuk mulakan bidang lain.

“Buat masa ini saya sudah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Jika tiada aral melintang pada hujung tahun ini, saya akan melancarkan jenama mekap saya sendiri,” katanya.

Mempunyai sikap pemalu ternyata ini menyebabkan Hanna tidak mempunyai rakan baik dalam kalangan selebriti. Bagaimanapun kata Hanna, dia bukanlah seorang yang sombong.

“Saya tidak ada masalah di set malah pelakon yang sudah bekerjasama dengan saya pasti tahu akan sikap saya bagaimana. Bukan sombong, tetapi lebih kepada rasa malu dan ‘kecil’ berbanding pelakon-pelakon lain.

“Selepas habis kerja memang saya balik ke rumah terus, jadi waktu untuk bersosial itu memang tiada,” katanya jujur.

Operasi X

BERPELUANG berlakon di samping tiga pelakon bergelar Datuk dalam filem Operasi X, ternyata ini antara peluang yang paling dinanti-nantikan pelakon ini.

“Ini adalah filem kedua saya selepas Dubai My Love. Memang apabila dapat tahu barisan pelakon terdiri daripada mereka yang berpengalaman seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Awie dan Datuk Aaron Aziz, saya sangat teruja.

“Memang dalam bidang ini, peluang seperti ini adalah sesuatu yang perlu dihargai sebab bukan datang selalu,” katanya.

Membawakan watak sebagai Cikgu Ayu, watak lakonannya menjalin hubungan cinta dengan ASP Redzuan lakonan Aaron Aziz. Sudah ditayangkan sejak 30 Oktober lalu, Operasi X merupakan buah tangan pengarah Sandosh Kesavan.