Sebaliknya kata beliau, filem itu lebih mengenengahkan fahaman fanatik sesat yang memberi ancaman kepada negara.

Bagaimanapun katanya, terdapat ungkapan dalam babak filem itu yang tidak dijelaskan dengan terperinci dan kesan boleh menimbulkan syubhat dalam isu keadilan Allah, juga konsep iman kepada qada dan qadar.

"Pun begitu, kami mencadangkan supaya dilantik konsultan syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema sebegini, dapat mengelakkan sebarang isu-isu sensitif melibatkan agama.

"Sebaiknya, rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem," katanya melalui hantaran di facebooknya.

Dr. Zulkifli juga mencadangkan pihka produksi agar meletakkan penjelasan pada awal filem atau pada addendum berkenaan kesamaran dalam jalan cerita (mungkin sengaja diletakkan pada subteks) yang mungkin terdedah kepada salah faham terhadap agama.

Katanya, beliau membuat ulasan ini setelah didatangi Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu, Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh yang memintanya memberikan pandangan berkenaan filem Polis Evo 2 berikutan rentetan daripada kontroversi yang timbul berkenaan filem ini.

"Saya mencadangkan kepada beliau untuk membenarkan saya dan para pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menonton terlebih dahulu filem ini sebelum membuat sebarang ulasan yang terburu-buru berdasarkan trailer.

Tetapi kata beliau, bukanlah niat dan tugas mereka untuk menapis semua filem tanahair.

"Ini dilakukan atas rasa tanggungjawab kepada agama dan tanahair dalam membawa satu warna baru dalam industri perfileman tanahair.

"Sepatutnya, inilah tanggungjawab kita bersama khususnya di pihak produksi untuk lebih cakna terhadap isu-isu yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat.

"Apa yang telah terjadi ini, merupakan satu ingatan bagi pihak dalam industri hiburan dan perfileman untuk berhati-hati dalam berkarya," katanya.

Polis Evo 2 mencetuskan kontroversi apbila umat Islam di negara ini diminta supaya memboikot filem itu kerana mengaitkan Islam dengan keganasan.

Malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk menyiasat dakwaan filem tersebut memberi imej buruk kepada Islam.

Tindakan itu berikutan kenyataan Anggota Jawatankuasa Pusat Pas, Dr. Riduan Md. Nor yang menggesa rakyat Malaysia memboikot untuk memberi pengajaran kepada mereka terlibat dalam filem itu. - UTUSAN ONLINE