Tanggal 31 Disember 2018, beribu-ribu pengunjung membanjiri pusat beli-belah itu untuk meraikan Ambang Tahun Baharu dalam gaya tersendiri.

Seawal pukul 12 tengah hari, bahang sambutan sudah terasa di pekarangan Jalan Peel berhadapan pusat beli-belah tersebut.

Menurut kenyataan Sunway Velocity Mall, pelbagai persiapan yang telah dirancang berjalan lancar bagi mengalu-alukan kedatangan 2019. Orang ramai terus ‘mengalir’ masuk memenuhi kawasan sekitar Jalan Peel.

Penaja bersama Sunway Integrated Properties memilih tema Warna-Warni 2019 untuk acara terbesar ini. Tema itu membawa makna setiap warna melambangkan resolusi baharu. Pada hari itu, orang ramai datang dengan berpakaian warna-warni, mewakili harapan mereka untuk tahun baharu.

Acara kemuncak pesta itu ialah pelbagai jenis tawaran jualan akhir tahun yang menarik serta aneka pilihan makanan lazat disediakan oleh penyewa pusat beli-belah itu.

Trak makanan turut disediakan bagi menawarkan pelbagai variasi makanan jalanan yang lazat dan makanan ringan, istimewa dari seluruh dunia. Antara tarikan lain adalah gerai foto 3D yang unik, pendaftaran keahlian untuk Kelab VeloKiddie, Kelab VeloStudent dan Sunway Pals secara percuma serta permainan karnival yang mencabar sesiapa sahaja untuk mencuba nasib bagi memenangi baucer beli-belah dan hadiah misteri.

Pemenang bertuah menerima ganjaran insentif untuk kediaman Sunway Velocity TWO yang terletak di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, deejay radio pusat beli-belah tersebut turut berinteraksi dengan orang ramai termasuk mengedarkan barangan percuma melalui sesi soal jawab serta aktiviti lain yang menyeronokkan. Bukan itu sahaja, persembahan artis tempatan terkenal menjadikan sambutan bertambah meriah.

Persembahan bermula pada pukul 9 malam dengan menampilkan barisan hebat artis tempatan yang terdiri daripada Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah serta Paperplane Pursuit selain bintang-bintang baru seperti Alvin Chong, Juztin Lan, Khai Bahar dan Jenn Chia yang mempunyai ramai peminat daripada pelbagai peringkat umur.

Peminat tegar artis-artis tersebut turut diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam Kempen Penebusan Pas Platinum VIP Istimewa bagi sesi Meet & Greet eksklusif di pentas. Antara hadiah mewah lain yang dinikmati peminat adalah tiket penerbangan ke Jepun yang ditaja oleh H.I.S Travel dan penginapan dua hari satu malam di Hotel Sunway Velocity.

Ambang tahun baharu tidak akan meriah tanpa pertunjukan bunga api. Ia adalah pelengkap sambutan dan pada malam itu pengunjung Sunway Velocity Mall terpesona menyaksikan kecantikan percikan bunga api yang berwarna-warni, sekali gus menyerlahkan langit Cheras tepat pukul 12 tengah malam iaitu detik ketibaan 2019.

Sebagai inisiatif kemasyarakatan kepada golongan yang kurang bernasib baik sempena Pesta Ambang Tahun Baharu ini, Sunway Velocity Mall telah menjemput 20 kanak-kanak dari Yayasan Sunbeam Homes untuk melawat kompleks beli-belah tersebut.

Agenda pada lawatan itu adalah menaiki kereta api mainan, menonton filem di TGV, makan tengah hari di TGV Indulge dan bermain di KidzB. Menjelang tengah hari, kanak-kanak terbabit menghabiskan masa untuk sesi seni dan kraf di Commune, Aras 5. Di situ kanak-kanak belajar membuat lukisan cat tangan. Tangan mereka yang diwarnakan itu membawa mesej kecintaan, kedamaian dan kegembiraan.

Selain cenderahati untuk setiap kanak-kanak terbabit, pihak pengurusan Sunway Velocity Mall juga telah mendermakan barangan elektronik bernilai RM3,000 kepada Yayasan Sunbeam Homes. Sumbangan itu diharap dapat dimanfaatkan oleh kanak-kanak tersebut.