Mana mungkin dia menolak ajakan sutradara yang sudah lebih puluhan tahun menyumbangkan karya cemerlang kepada penonton.

Seringkali memegang watak-watak baik dan `mat romeo’ sepanjang lapan tahun bergiat aktif dalam bidang lakonan, Dazrin berbesar hati sewaktu menerima pelawaan Aziz yang ketika itu menyuarakan hasrat untuk memulakan penggambaran filem XX Ray III.

“Kebetulan saya pernah bekerja dengan Aziz ketika penggambaran sebuah drama arahannya. Tiba-tiba dia ada berkongsi hasrat untuk menyambung siri XX Ray.

 

“Tanpa segan silu saya menawarkan diri kepadanya. Saya kata, bagilah apa-apa watak sekali pun, yang jahat pun saya sanggup!

“Tak sangka impian saya tertunai lepas beberapa hari kemudian,” katanya memulakan bicara.

Akui pelakon Quddus itu, dia adalah pengikut setia filem XX Ray I dan XX Ray II yang pernah mencetuskan fenomena pada era 90-an.

Justeru, dia tidak menyangka untuk prekuel ketiga, kehadirannya bagi melengkapkan naskhah itu adalah satu mimpi yang menjadi nyata.

“Saya memang mengikuti cerita ini walaupun sewaktu ditayangkan dulu saya masih kecil. Saya mengaku sehingga kini masih menonton cerita-cerita arahan Aziz.

“Pada saya, ia satu penanda aras buat Malaysia untuk mencapai satu tahap industri filem yang baharu,” katanya.

Bercerita lanjut tentang pengalaman serta cabaran yang dilalui sepanjang penggambaran yang dijalankan pada 2015 (peringkat pertama) dan 2017 (peringkat kedua), Dazrin akui penantian selama empat tahun untuk filem itu ditayangkan pada 24 Januari ini, sangat berbaloi.

“Sepanjang penggambaran, kalau boleh saya rangkumkan dalam satu perkataan, ia amat menarik!

“Saya perlu banyak bermain dengan imaginasi dan bayangan untuk membawakan watak Rosman. Saya kena berdepan dengan alam maya yang tak boleh dilihat dan banyak menggunakan paparan skrin hijau bagi awal babak,” kata Dazrin.

Turunkan berat badan

MENGANGGAP satu tanggungjawab bagi seorang pelakon apabila diberi kepercayaan untuk mengalas sesuatu watak, sebab itu Dazrin sanggup berkorban ‘membakar’ lemak di badannya.

Semuanya demi menyahut cabaran Aziz yang mahu dia menurunkan berat badan bagi menyesuaikan imej bagi karakternya.

“Masa mula-mula kahwin, saya mengalami penambahan berat badan yang mendadak sehingga mencecah 80 kilogram.

“Sebelum memulakan penggambaran, Aziz meminta saya turunkan berat badan kerana watak Rosman memiliki tubuh tegap mengikut gambaran pengarah.

“Jujurnya, saya tak perasan berat naik. Tapi saya mulai terasa pakaian sudah banyak tak muat sewaktu terlibat dalam drama My Darling Inspektor Daniel, dua tahun lalu.

Berasakan satu penghormatan buat dirinya kerana diberi peluang bekerja dengan ‘otai’ perfileman, Dazrin mahu bekerjasama dengan pengarah tersebut bagi projek akan datang.

“Bekerja dengan Aziz adalah satu penghargaan buat saya kerana dapat belajar dengan legenda. Dia sudah bekerjasama dengan pelbagai lapisan pelakon sepanjang pembabitannya dalam industri seni kreatif.

“Sepanjang penggambaran 40 hari di sekitar Melaka, Johor dan Jordan, saya tidak pernah berdepan dengan kesukaran kerana mendapat didikan dan tunjuk ajar yang baik daripada Aziz,” akhirinya.

Filem terbitan Ace Motion Pictures Sdn.Bhd. itu turut dijayakan oleh barisan pelakon masa kini iaitu Izzue Islam, Nonny Nadirah, Adam John, Ardell Aryana, Ashraf Muslim, Saiful Apek, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaludin Hassan dan Aziz sendiri.