Persembahan sempena Karnival Pencegahan Jenayah 'Satu Impian Satu Harapan' itu juga akan menggabungkan kembali anggota asal yang dianggotai Joey (vokalis), Awang (gitaris), Yem Bai (bassis), Harun (gitaris) dan Enal (dram).

Bagi pengurus kumpulan, Ashaari, persembahan itu menjadi permulaan kepada mereka untuk membuat kemunculan semula bagi menghiasi dan mewarnai muzik tanah air.

Menurutnya, penggabungan semula anggota asal BPR itu diharap dapat mengimbau semula nostalgia lagu-lagu yang pernah mempopularkan mereka suatu ketika dahulu.

"Keputusan itu diambil selepas semua anggota sedia untuk memberi komitmen demi menyambung silaturahim antara kami di samping menjadikan kumpulan ini sebagai salah satu punca rezeki atas nama minat dan seni yang menjadi darah daging.

"Bersatunya kumpulan ini bukan hanya untuk mencari populariti tetapi sumber pendapatan untuk menyara keluarga. Ada dalam kalangan mereka yang anak-anak yang sedang belajar di universiti selain ada yang menampung kos perubatan," katanya dalam sidang akhbar di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.

Kumpulan yang pernah menggegar muzik tempatan itu dengan lagu-lagu seperti Dari Sinar Mata, Seribu Tahun Takkan Mungkin, Dendam Cinta Seusia Dunia, Air Mata Jernih serta Silaturahim itu masih diminati sehingga hari ini.

Menerusi showcase dengan harga tiket RM60 di Hard Rock Cafe pada pukul 4 petang itu, BPR akan membawakan semula koleksi lagu-lagu nostalgia mereka untuk menghiburkan peminat.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hassan berkata, program dengan kerjasama Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) itu bertujuan menarik golongan belia hadir di karnival tersebut.

Pada masa sama katanya, turut diadakan pameran dan maklumat berhubung peranan belia dalam pencegahan jenayah bagi meningkatkan suasana aman dan selamat di negeri ini.

Abd. Jalil memberitahu, wang kutipan yang dikumpul oleh Hard Rock Cafe itu akan disalurkan untuk membantu isteri dan ahli kumpulan BPR yang sakit. - UTUSAN ONLINE