Dilancarkan pada 19 September lalu di Sri Lanka, karya ciptaannya hasil kolaborasi dengan Sufian Suhaimi dan Sabbala itu ternyata mampu menarik perhatian peminat muzik tempatan meskipun pada awal kemunculannya, Zyn menerima kecaman hebat warganet.

“Dulu ketika saya sering menemani rakan-rakan penyanyi seperti Ismail Izzani, Haqiem Rusli dan Sufian Suhaimi, tak dinafikan peminat-peminat mereka pernah mengecam kehadiran saya yang dikatakan ‘retis berangan’.

“Bagaimanapun, kecaman itu sedikit pun tidak melemahkan semangat saya untuk meneruskan hasrat bergelar penyanyi rakaman dan rakan-rakan saya adalah sumber inspirasi untuk terus maju.

“Jujurnya, saya berasa amat takut dengan respons peminat terhadap Terbang apabila mengenangkan balik kecaman yang diterima sebelum ini.

“Alhamdulillah, rezeki setiap hamba-Nya akan datang dalam pelbagai bentuk dan cara, cuma lambat atau cepat sahaja.

“Ini takdir yang telah ditulis untuk saya dan amat bersyukur atas rahmat Allah ini,” kata pemilik nama sebenar Muhammad Raziq Rosli itu.

Selaku penulis lirik, anak kelahiran Keramat itu menjelaskan, lagu Terbang dihasilkan menerusi gabungan dua elemen iaitu komersial dan indie.

Menurut Zyn, Sabbala merupakan seorang penyanyi rap indie dan latar belakang Sufian pula dari arus komersial.

“Jadi, apabila kelebihan kedua-dua pengkarya itu digabungkan, maka terhasillah Terbang.

“Liriknya pula adalah medium terbaik yang saya manfaatkan untuk berdakwah melalui muzik,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE