MAHADZIR LOKMAN masih dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurut anak saudaranya, Abby Wahab, ketika ini tekanan darah dan pernafasan pakciknya itu diberitahu doktor berada dalam keadaan stabil.

“Saya ada bercakap dengan pakcik Danial mengenai keadaannya ketika ini. Sejak awal pagi tadi tekanan darah dan pernafasannya sudah normal. Bagaimanapun dia ketika ini masih koma.

“Sama seperti semalam seluruh ahli keluarga memang berada di hospital dalam memantau keadaannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online sebentar tadi.

Semalam Mahadzir Lokman dilaporkan koma dan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya selepas pulang dari Jakarta, Indonesia, dua hari lalu.

Menurut adiknya Danial Lokman, abangnya yang mempunyai penyakit darah tinggi dan diabetis itu sebelum ini mengadu sakit kepala sebelum tidak sedarkan diri.

Memulakan kerjaya di TV3 pada 1984 sebagai penyampai berita bahasa Melayu dan Inggeris, antara kebolehan Mahadzir adalah untuk dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis.

Sering menjadi pengacara dalam acara bertaraf dunia, Mahadzir juga dianugerahkan Ordre Les Palmes Academiques oleh kerajaan Perancis pada 2006 atas usaha beliau mempromosi bahasa dan budaya Perancis.- UTUSAN ONLINE