Tiada siapa yang patut dipersalahkan, tiada apa juga patut dijadikan punca sementelah hanya dia sendiri sahaja yang tahu apakah sebab musabab tidak beruntung dalam perkahwinan.

Selasa lalu, semuanya terungkai apabila Datuk A. Aida mengesahkan yang sudah bercerai dengan suami muda yang dinikahi selama sembilan bulan.

Sudah tentu berita yang tersebar begitu panas menimbulkan pelbagai persepsi bukan sahaja kepada penerbit berkenaan tetapi juga bekas suaminya, Ariff Aziz yang juga seorang pelakon.

“Saya memiliki segala-galanya tapi tidak beruntung untuk mendakap bahagia lelaki bergelar suami,” katanya menahan sebak.

Bernikah pada 21 Julai 2018 dan bercerai pada 25 April lalu bukanlah satu tempoh masa yang panjang meski berganti tahun.

Sudah tentu khalayak membuat pelbagai spekulasi apakah sebenarnya yang terjadi kepada mereka yang gagal mempertahankan perkahwinan kurang setahun.

Tak kurang juga ramai yang beranggapan, jurang usia yang agak jauh menjadi punca kepada masalah. A. Aida sendiri sudah lebih 40 tahun manakala Ariff ketika pernikahannya baru sahaja berusia 29 tahun.

“Saya tidak pernah fikir usia menjadi masalah kepada mana-mana hubungan. Ada wanita lain bernikah dengan suami muda tetapi bahagia sahaja.

“Ada orang pula tak bahagia sehingga membawa kepada penceraian. Dan saya salah seorang yang tak beruntung dalam hal ini. Tak mengapalah, jodoh dan ajal bukankah rahsia Allah?” katanya menyedapkan hati sendiri.

Tambahnya, soal kematangan bukanlah boleh diukur dan dinilai dengan mata kasar. Apa yang berlaku kepada hubungan mereka tidak akan dikongsi kepada umum dan hanya mereka sahaja yang tahu apa sebenarnya terjadi.

Sokongan

MENDEPANI realiti menjadi janda buat kali keempat, A. Aida tidak pernah merasakan itu sesuatu yang patut dimalukan. Kegagalan rumah tangga bukan lagi hal baharu dan sesiapa sahaja ‘boleh’ melaluinya.

Namun dari satu sudut, dia beruntung kerana anak-anak dan keluarga terdekat tidak pernah meletakkan kesalahan tersebut di bahunya.

“Dulu masa saya beritahu keluarga mahu bernikah, mereka terkejut. Bukan apa, tak kenal lama pun tapi terus nak menikah. Mestilah adik-beradik dan anak-anak pelik.

“Bila berlaku perpisahan, saya beruntung kerana mereka tidak pernah sama sekali menyalahkan saya bila bercerai. Mereka tahu apa yang berlaku. Jika ini jalan terbaik, semua beri sokongan,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.

Meskipun ramai yang meletakkan kesalahan di bahunya, A. Aida tidak kisah seandainya perkara tersebut menjadi bahan bualan masyarakat.

Baginya semua orang berhak berkata apa sahaja dan memandangkan mereka sendiri tidak mengetahui apakah yang berlaku kepada rumah tangga mereka.

Mengakui yang hari-hari dilalui selepas penceraian semakin menggembirakan, dia tidak perlu lagi untuk memikirkan soal hati sesiapa memandangkan segala-galanya telah berlalu.

“Banyak lagi hal lain yang perlu saya lakukan termasuklah menguruskan syarikat produksi, produk kecantikan dan bisnes pakaian sukan. Rasanya lebih baik tumpukan kepada hal itu,” tambahnya.

Terdahulu A. Aida pernah bernikah dengan Ameng dan dikurniakan Wan Az Aleesa, 23, dan Wan Azevanatassha, 18.

Dia kemudiannya bernikah dengan seorang anggota Polis yang tidak diketahui butiran lanjut tanpa sebarang zuriat.

Tidak lama selepas itu, A. Aida bernikah pula dengan seorang pegawai Polis dan dikurniakan Muhammad Rahul, 10.

Anak-anak lega

“SAYA rasa perkenalan mereka singkat. Bila perkenalan yang terlalu singkat ini memang sukar untuk mengenal hati budi masing-masing,” kata anak sulung A. Aida, Aleesa.

Meskipun tahu penceraian bukanlah hal yang manis untuk diperkatakan, mereka bagaimanapun tetap berada di belakang ibu walau apa sekalipun yang terjadi.

Menganggap wujud kurang persefahaman antara mereka, Aleesa menegaskan keserasian bukan sahaja perlu antara mereka sebaliknya bersama keluarga juga.

“Nak berkahwin ni bukan untuk pasangan sahaja tetapi juga famili. Apa yang penting sesiapa sahaja perlu pandai mengambil hati mereka memandangkan itu juga kunci kebahagiaan.

“Kalau selepas ini mama mahu kahwin lagi, kami tak kisah lelaki tua atau muda. Apa yang penting dia tahu mengambil hati dan jangan terburu-buru,” tegasnya.

Bagi Azevanatassha, dia mengharapkan kebahagiaan akan memeluk ibunya meksi tanpa kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya.

“Apa sahaja yang dilakukan oleh mama, kami akan sokong dari belakang. Dia sendiri tahu apa yang patut dilakukan dan apa yang tidak. Jadi sebagai anak kami mendoakan yang terbaik sahaja,” katanya.