Seluruh simpatinya menggunung apabila melihat ada kanak-kanak yang dilahirkan tidak berdosa tetapi terpaksa menggalas beban kesilapan insan lain sehingga menjejaskan masa depan mereka.

Justeru, pelakon cantik ini tidak tergamak membiarkan nasib generasi masa depan ini diabaikan tanpa pembelaan wajar. Biarlah dia dan rakan-rakan aktivis lain berusaha menyediakan platform utama sebelum laluan kehidupan anak-anak kecil itu terbuka lebih luas.

Menerusi banyak kerja amal yang dibuatnya terutama yang melibatkan kanak-kanak, Lisa berhadapan dengan kisah-kisah sedih dan individu yang berkaitan dengan status tidak sah taraf sehingga hatinya meronta-ronta mahu melakukan sesuatu dan membantu insan-insan tersebut.

Pertemuan dengan aktivis Syed Azmi Alhabshi baru-baru ini membuka ruang untuk Lisa berganding idea dan usaha merealisasikan impian sejak usia mudanya untuk membantu kanak-kanak.

Segala aturan yang dirancang pula tersusun dan seperti dipermudahkan termasuk berkesempatan berjumpa dan berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Segalanya bermula ketika saya bertemu aktivis terkenal yang juga rakan saya, Syed Azmi kerana mahu mendapatkan gambaran sebenar tentang isu anak tidak sah taraf.

“Saya perlu dapat maklumat tepat dan lebih jelas daripada mereka yang benar-benar mahir tentang hal ini dan yang selama ini memang memperjuangkan hak asasi kanak-kanak. Jadi, saya minta bantuan daripadanya untuk lebih memahami.

“Kami berbincang cara untuk membantu mereka yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan sijil kewarganegaraan kerana status tersebut. Ia satu isu yang besar kerana dokumen tersebut seperti satu lesen yang sangat penting terutama untuk mendapatkan hak-hak yang sama dengan kanak-kanak lain khususnya pendidikan.

“Dari situ timbul persoalan tentang bagaimana pendekatan Islam tentang isu anak tidak sah taraf ini? Tak mungkin mana-mana agama pun boleh membiarkan bayi yang tidak berdosa ini tidak mendapat haknya.

“Tapi kami tidak ada jawapan untuk itu. Justeru kami perlu mendapatkan penjelasan daripada pihak yang lebih arif, lantas timbul idea untuk bertemu dengan mufti,” kata Lisa ketika dihubungi HITS.

Penglibatan Daphne Iking

Ujar pelakon berusia 32 tahun ini, dia mempelawa rakan artisnya, Daphne Iking untuk terlibat sama kerana tahu pengacara tersebut juga sangat aktif dalam memperjuangkan hal-hal kemanusiaan.

“Daphne adalah antara kawan saya yang betul-betul mengambil berat dan serius tentang perkara yang berkaitan anak-anak kecil. Oleh kerana Daphne sendiri berasal dari Sabah dan isu ini juga sangat besar berlaku di negeri itu, maka penglibatan dia sangat bermakna.

“Malah, selepas hantaran kami dalam media sosial tentang pertemuan bersama mufti, ramai yang memberi sokongan termasuk rakan-rakan industri. Malah ada yang mahu turut serta membantu,” kata Lisa.

Katanya, pertemuan dengan mufti juga membuka peluang lebih cerah bagi kejayaan usaha amal itu kerana mendapat sokongan beliau.

“Malah mufti sedia membantu meningkatkan kesedaran dan menguar-uarkan isu tersebut.

“Kalau tanya apa yang kami mahu, satu perkara jelas ialah mahu anak-anak tak bersalah ini diberi kewarganegaraan kerana tanpa apa-apa dokumentasi mereka alami kepayahan untuk mendapat hak belajar dan perubatan.

“Bayangkan kalau tiada kad pengenalan, sukar bagi mereka untuk bersekolah. Bila tak sekolah, susah pula untuk dapat bekerja dan apabila tiada kerja, komplikasinya sangat tidak sihat. Ia akan membawa kepada perkara-perkara yang tidak baik seperti dadah, seks dan jenayah.

“Paling sedih apabila anak-anak tidak sah taraf ini tiada dokumen diri, ia seumpama menafikan hak asasi mereka untuk hidup.

“Bagi saya, kita perlu memberi peluang yang sama adil kepada semua kanak-kanak agar mereka mempunyai pilihan hidup. Bukan hak kita untuk `merompak’ hak asasi mereka,” kata Lisa dengan tegas.

Usaha beri pengenalan diri

Kata Lisa, sejujurnya sejak dia masih bergelar pelajar lagi, dia sentiasa terfikir untuk bekerjasama dengan Unicef. Peluang itu hanya datang ketika dia bergelar selebiriti dan pelakon sehingga dilantik menjadi duta pertubuhan tersebut pada 2017 sehingga kini.

“Kelemahan saya ialah punya hati yang lemah apabila melihat kanak-kanak. Saya sangat mudah simpati apabila melihat kanak-kanak terabai, susah dan teraniaya.

“Hati saya sangat tersentuh apabila terlibat dalam kempen membanteras penderaan kanak-kanak di bawah sebuah organisasi media. Ibu bapa generasi baru seperti saya sendiri berdepan dengan cabaran hebat terutama pendedahan dalam media sosial yang tiada sempadan.

“Justeru, sebagai seorang figura awam, seorang insan yang prihatin dan sekali gus juga ibu kepada dua anak kecil. saya sendiri sentiasa tertanya-tanya apakah ada garis panduan untuk membantu anak-anak kita berdepan dengan isu yang mencabar hari ini.

“Maka saya jadikan kelemahan saya ini sebagai satu kekuatan untuk membantu anak-anak kecil yang tidak berdosa mendapatkan pembelaan terbaik bagi mencorak masa depan mereka yang lebih sempurna. Kerja begini perlukan keazaman dan kesungguhan.

“Dalam apa jua bidang yang dibuat, kita buat sesuatu bukan untuk diri kita semata-mata tetapi juga untuk insan lain, Ini makanan jiwa untuk kita,” kata Lisa yang mendapat sokongan penuh suaminya, Yusri Abdul Halim.

Mengenai perancangan seni, Lisa memberitahu ketika ini dia lebih banyak menguruskan kerja-kerja belakang tabir dan membantu Yusri dalam dunia pengarahan.

Kata Lisa, dia dan pasukan aktivis yang lain akan berusaha keras memastikan ‘anak-anak tidak sah taraf’ mendapat pengenalan diri bagi melayakkan mereka menerima pelbagai kemudahan bagi membina hidup yang lebih baik kelak.

“Ini cabaran yang paling sukar kerana ada polisi tertentu yang sebenarnya sudah ada, tetapi ramai yang tidak tahu terutama dalam hal pendidikan termasuk pihak sekolah sendiri.

“Kami juga merancang melawat rumah-rumah kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapat data sebenar dan mendekati mereka yang terlibat.

“Apa yang kami mahu buat ialah berkongsi maklumat dan menghebahkan sebanyak mungkin kepada masyarakat dan mendapat perhatian mereka. Seboleh-bolehnya kami mahu bekerjasama dengan semua sektor agar masalah ini dapat diatasi dan kita bersama membantu memudahkan perjalanan hidup orang lain.

“Justeru tidak ada penanda waktu untuk kerja-kerja begini kerana ia pasti akan berterusan. Ia tidak mudah tapi kami semua tidak akan patah semangat.

“Saya sendiri dikira masih baru dalam kerja-kerja ini dan perlu mendidik diri untuk lebih bersemangat dan tidak putus asa. Mujurnya saya bersahabat dengan rakan-rakan aktivis yang hebat-hebat dan sangat mendalam pemahamannya tentang isu ini.

“Ia juga bukan satu kerja mudah. Jadi, saya sangat menghormati aktivis yang tidak jemu-jemu menabur jasa membantu insan lain yang kurang bernasib baik di luar sana,” ujar Lisa yang pernah mengambil jurusan undang-undang di Universiti Aberystwyth di Wales, United Kingdom.

Kelemahan jadi kekuatan

Kata Lisa, sejujurnya sejak masih bergelar pelajar dia sentiasa terfikir untuk bekerjasama dengan Unicef. Peluang itu hanya datang ketika dia bergelar selebriti dan pelakon sehingga dilantik menjadi duta pertubuhan tersebut pada 2017 sehingga kini.

“Kelemahan saya ialah punya hati yang lemah apabila melihat kanak-kanak. Saya sangat mudah simpati apabila melihat kanak-kanak terabai, susah dan teraniaya.

“Hati saya sangat tersentuh apabila terlibat dalam kempen membanteras penderaan kanak-kanak di bawah sebuah organisasi media. Ibu bapa generasi baru seperti saya sendiri berdepan dengan cabaran terutama pendedahan dalam media sosial yang tiada sempadan.

“Justeru, sebagai seorang figura awam, insan yang prihatin dan sekali gus ibu kepada dua anak kecil, saya sentiasa tertanya-tanya apakah ada garis panduan untuk membantu anak-anak kita berdepan dengan isu yang mencabar hari ini.

“Maka saya jadikan kelemahan ini sebagai satu kekuatan untuk membantu anak-anak kecil yang tidak berdosa mendapatkan pembelaan terbaik bagi mencorak masa depan mereka yang lebih sempurna. Kerja begini perlukan keazaman dan kesungguhan.

“Dalam apa jua bidang yang dibuat, ia bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi juga untuk insan lain. Ini makanan jiwa untuk kita,” kata Lisa yang mendapat sokongan penuh suaminya, Yusri Abdul Halim.

Mengenai perancangan seni, Lisa memberitahu, ketika ini dia lebih banyak menguruskan kerja-kerja belakang tabir dan membantu Yusri dalam dunia pengarahan.