Malah single baharunya, Muzik Tiduranku yang dilancarkan baru-baru ini memberi bayangan yang suami kepada Awin Nurin ini semakin selesa dengan lembaran seni solo yang dicatat.

Masakan tidak, graf seni yang semakin meningkat sejak bergerak sendiri untuk seketika membuktikan Izzue seolah-olah mampu untuk melangkah tanpa ditemani rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Timbul juga pelbagai dakwaan mengatakan Forteen sebenarnya bertahan semata-mata atas dasar rasa kasih dan sayang untuk membubarkan kumpulan yang cukup popular dengan lagu Dekat Tapi Jauh itu.

Sementelah, rakan-rakan seperjuangannya yang lain seperti Ariz, One dan Amir juga semakin aktif bergerak solo dengan masing-masing mengeluarkan single dan bergiat dalam dunia lakonan.

Bersua bicara dengan Izzue, soalan itu pasti menjadi topik hangat untuk diperjelas. Adakah benar Izzue sudah bersedia meninggalkan Forteen atau adakah benar dakwaan mereka hanya seperti retak menunggu belah?

Tidak melenting atau terasa hati, dia sedar asam garam dunia seni menuntutnya untuk tidak berganjak daripada kontroversi. Kepada Mega Hits, penyanyi berusia 28 tahun ini tampil menjelaskan pelbagai persoalan.

MEGA HITS: Apabila Izzue semakin aktif dengan lagu baharu dan dunia lakonan, ada yang beranggapan Izzue sebenarnya sudah tawar hati untuk meneruskan perjuangan dengan Forteen? Benarkah dakwaan itu?

IZZUE: Tidak sama sekali, Forteen adalah nadi seni saya dan ahli kumpulan yang lain. Kami bernafas dalam udara perjuangan yang sama, tidak mungkin kami meninggalkan kumpulan yang memperkenal kami dalam industri seni.

Mungkin apabila masing-masing sudah mempunyai perjalanan seni solo sendiri, orang melihat kami bukan sebagai satu kumpulan. Kami masih Forteen dan api perjuangan itu masih membara seperti mula-mula dahulu.

Izzue dilihat lebih menonjol sekarang berbanding tiga ahli kumpulan yang lain, tidakkah Izzue melihat itu sebagai menumpang populariti yang ditempa?

Saya rasa masing-masing ada lembaran seni sendiri. Tidak pernah timbul isu siapa tumpang populariti siapa sebenarnya kerana kami berempat ada pengikut tersendiri. Masing-masing ada pengaruh sendiri.

Saya anggap perjalanan seni saya dipermudah dan dengan usaha serta bakat yang ada, saya mungkin dilihat lebih menonjol. Tetapi sebenarnya kami masih menyokong antara satu sama lain.

Apabila masing-masing sudah ada kerjaya solo sendiri, tidakkah itu menimbulkan spekulasi atau tanda tanya yang Forteen hanya bertahan kerana rasa sayang? Bukan lagi kerana perjuangan?

Saya rasa ramai yang silap dan menganggap kami sekadar mahu populariti. Niat kami hanyalah untuk menambah warna dalam kanvas seni masing-masing. Peluang dan rezeki yang datang tak seharusnya dipersia-sia.

Forteen masih aktif membuat persembahan. Mungkin apabila orang tengok kami membuat persembahan yang kadang-kadang tidak cukup ahli, ramai yang anggap kami menunggu masa untuk bubar.

Senang cakap, mulut orang kita tidak boleh tutup. Kami akan mempertahan Forteen biarpun dikutuk dan dikecam. Saya percaya, jiwa Forteen masih ada dalam diri setiap ahli kumpulan.

Masing-masing aktif dengan kerjaya solo jadi bagaimana membahagi masa untuk perjuangan muzik Forteen?

Pada awal pembabitan dalam Forteen, kami sudah membuat perjanjian. Kita sudah bersedia sekiranya masing-masing akan bergiat aktif secara solo tidak kira dalam dunia nyanyian atau lakonan.

Tapi kami sama sekali tidak akan mengabaikan Forteen. Yang dilakukan secara solo, itu adalah rezeki masing-masing. Kami tidak akan menghalang malah memberi sepenuh sokongan sebagai sahabat.

Jadi apa perancangan Forteen selepas ini? Sudah lama ‘diam’ rasanya?

Insya-Allah, tahun ini kami akan muncul dengan single baharu dan peminat akan nampak kematangan masing-masing yang kami peroleh daripada pengalaman solo masing-masing.

Saya dan Amir pun baru sahaja melancarkan single solo masing-masing jadi besar kemungkinan selepas Aidilfitri atau selewat-lewatnya, hujung tahun ini projek Forteen pula. Kami akan menjanjikan muzik yang lebih segar dan berjiwa baharu.

Benarkan single baharu, Muzik Tiduranku untuk isteri tercinta?

Ya, memang lagu ini saya cipta saat pertama kali saya bersua dengan Awin. Semasa itu, melodi lagu ini sudah bermain-main di dalam minda. Sebenarnya Awin yang meyakinkan saya untuk menjadikan lagu itu sebagai single ketiga saya.

Pada awalnya memang tak berapa yakin tapi sokongan isteri membuatkan saya percaya lagu ini boleh pergi jauh. Malah saya juga sempat merakam video muzik di Jordan semasa penggambaran filem, XX Ray 3.

Bagaimana pula dengan perkembangan terkini?

Alhamdulillah... rezeki hasil usaha dan doa daripada peminat juga. Sekarang drama komedi seram lakonan saya, Kisah Yang Hilang sedang ditayangkan. Malah saya juga akan terlibat dengan siri jelajah untuk mempromosikan lagu Muzik Tiduranku.

hits hiburan utusan malaysia

ALIF FADLI MOHD. SORI

****** PAGE ATAS *******