Mula popular dengan lagu Nadiku beberapa tahun lalu, Sabhi terus mengatur langkah dengan lagu Cinta Sesungguhnya. Lagu yang menggandingkan dia dan penyanyi Marsha itu diminati ramai sehingga ke hari ini.

Bagi Sabhi walaupun sudah beberapa tahun menceburi bidang seni tanah air, dia masih lagu gusar dengan turun naik industri yang tidak menentu sehingga mengganggu perasaannya.

“Tak mudah sebenarnya nak masuk ke dalam industri seni tanah air. Sebagai penyanyi saya sudah melalui bermacam-macam perkara terutama untuk menempatkan diri satu ketika dahulu.

“Alhamdulillah sekarang orang mula mengenali Sabhi Saddi dan itu merupakan perkembangan yang baik buat saya. Saya cuma mahu orang memberikan peluang untuk penyanyi seperti saya,” tambah Sabhi lagi.

Jika ada yang masih ingat, sebelum ini penyanyi yang berasal dari Sabah ini pernah muncul dengan lagu Nadiku. Lagu berentak perlahan cukup diminati ramai sehingga ke hari ini.

Menyifatkan lagu tersebut memberikan tuah kepada perjalanan seninya, ada kala hatinya terdetik rasa gusar jika lagu seterusnya tidak dapat menandingi kekuatan lagu tersebut.

Baginya untuk memilih lagu baru bukan satu perkara yang mudah memandangkan dia juga perlu memikirkan sama ada lagu baru itu akan diminati atau tidak.

“Ini yang sering menjadi masalah kepada saya bila melibatkan pemilihan lagu baru. Yang akan jadi masalah sekiranya lagu itu tidak dapat menandingi lagu lain.

“Sudahnya dalam mana-mana persembahan pun orang tetap mahukan lagu lama sedangkan saya sudah ada lagu yang baru. Itu yang saya hadapi sekarang,” jelasnya ketika ditemui semasa sesi rakaman lagu Bukan Isteri Sempurna baru-baru ini.

Lagu Bukan Isteri Sempurna yang menggandingkan Sabhi dan Mila Jirin itu dicipta oleh Eddie Hamid dan lirik oleh A Aida bakal dimuatkan di dalam drama bersiri Bukan Isteri Sempurna.

Bagi Sabhi sendiri, dia sudah mempunyai beberapa perancangan termasuklah merakamkan beberapa buah lagu lain yang bakal dijadikan single sebelum memuatkan ke dalam sebuah album penuh.

Tambahnya dalam situasi industri yang kurang memberangsangkan dia perlu bijak membuat percaturan agar tidak tersalah langkah.

“Buat album penuh bukan lagi jaminan untuk kekal bertahan di dalam industri hiburan tanah air. Sebab tu kena fikir banyak strategi lain agar tak tersalah jalan,” ungkapnya ringkas.

Bahagia

MENGULAS lanjut mengenai kehidupan peribadi pula, Sabhi mengakui kehidupannya cukup membahagiakan apatah lagi dengan kelahiran anak kedua enam bulan yang lalu.

Baginya meskipun tanggungjawab terhadap keluarga semakin berat tetapi itu bukan masalah besar untuk dilaksanakan memandangkan dia sudah dididik untuk menjadi lelaki yang bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Kalau dahulu kebanyakan masa saya habiskan di luar tetapi sekarang saya hanya keluar bila perlu sahaja. Selebihnya saya duduk di rumah melayan kerenah anak-anak.

“Paling tidak saya tahu tanggungjawab membesarkan anak-anak bukan terletak di tangan isteri semata-mata. Saya pula kena kerja lebih keras memandangkan perlu menanggung keluarga.

“Tapi itu bukan masalah besar pun. Asalkan saya berusaha pastinya ada rezeki buat kami sekeluarga,” ungkap Sabhi lagi.

Pun begitu dia tidak menafikan pendapatan sebagai penyanyi ada pasang surutnya. Walaupun setiap minggu akan memenuhi undangan nyanyian, dia tidak betah mengharapkan wang tersebut untuk menyara keluarga.

Selain menyanyi Sabhi juga terlibat dalam bisnes lain yang diusahakan bersama keluarga.

Mengulas lanjut mengenai bidang lakonan pula, bapa kepada Sofea Reesya, 2 tahun dan Sofea Rania, 6 bulan ini mengakui agak sukar untuk meneruskan minat dalam bidang tersebut.

Baginya dia masih lagi mempunyai perasaan malu ketika berada di set penggambaran dan itu sedikit sebanyak membataskan minat terhadap bidang tersebut.

Hampir setahun enggan menerima apa-apa tawaran, Sabhi sebelum ini pernah muncul dengan drama Air Mata Darah, Antara Laut China Selatan dan Aku Ada Wali.

“Dahulu saya menerima sebab mahu mencari pengalaman. Bila dah berlakon saya tahu ini bukan bidang yang patut saya buat secara serius. Saya mahu mendahulukan bidang nyanyian di hadapan barulah lakonan.

“Sebab itu kebanyakan tawaran yang saya dapat terus ditolak. Mungkin bila dah yakin dan kurang rasa malu barulah saya aktif kembali macam dulu,” jelasnya yang bakal membintangi drama bersiri Puteri Gunung Ledang tidak lama lagi.