Mungkin ada yang melabel gadis cantik ini sebagai Ratu Gimik. Bayangkan kerana gimik yang cukup mengundang kontroversi itu, video muzik Pematah Hati ditonton lebih dua juta dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Namun persoalannya, bagaimana dia mahu meneruskan momentum yang sama untuk lagu seterusnya? Adakah gimik sekali lagi bakal menjadi modus operandi bagi melariskan lagu?

Bersua bicara dengan penyanyi dan pelakon ini, dia tidak pernah merancang untuk sebarang gimik bagi melariskan single pertamanya itu. Namun siapa sangka akhirnya tular sehingga mencetuskan kontroversi.

Pun begitu, dia sedar tidak semua gimik mampu memberi impak positif kepada kerjayanya. Silap langkah, nama yang sedang memuncak boleh jatuh kerana rasa benci peminat.

“Saya tahu, bukan senang untuk buat gimik. Orang dengar gimik sahaja negatif, orang sudah mula tidak percaya. Tapi bagi saya, gimik ini kalau betul caranya boleh berjaya.

“Tapi pada masa yang sama, saya tidak boleh buat orang ‘benci’ saya disebabkan gimik. Hendak jadi seorang Nabila Razali ini bukan mudah. Kalau buat gimik lagi, takut orang sudah tak percaya.

“Buat masa sekarang, saya tidak boleh cakap pasal gimik untuk single seterusnya. Saya sendiri sebenarnya tidak pernah merancang. Kita serahkan nanti kepada pihak pengurusan,” katanya.

Sedar gerak gerinya diperhati oleh mata-mata warganet yang mudah mencari kesalahan hatta sekecil zarah, Nabila tidak mahu mempertaruh risiko namanya hanya semata-mata demi mengejar populariti.

Bakal tampil dengan single baharu bulan depan, dia mengakui sedikit tertekan untuk memikirkan cara bagaimana memastikan lagu baharu itu bakal menandingi atau menyamai kehebatan lagu Pematah Hati.

“Ayah saya selalu pesan, kalau hendak melakukan sesuatu biarlah memberi impak yang besar. Sebab itu saya selalu memikirkan strategi untuk lebih maju ke hadapan khususnya bila melancarkan lagu baharu nanti.

“Kita sedia maklum persaingan dunia muzik sekarang agak sengit, namun saya percaya setiap penyanyi ada kekuatan dan kelebihan. Saya sendiri mempunyai keunikan yang tidak ada pada penyanyi lain.

“Insya-Allah, saya percaya jika kita berusaha dan tidak pernah kenal erti mengalah, kita akan genggam kejayaan itu suatu hari nanti. Kita kena berani untuk ambil risiko,” kata gadis berusia 26 tahun itu.

Sedar diri, kemampuan

BERBICARA soal single baharu, Nabila Razali berkata, lagu tersebut bakal memberi cerminan baharu kepada kerjaya seninya. Tampil dengan genre berbeza, Nabila berani mengambil risiko.

Mengakui semakin matang dalam muzik, lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu mengangkat kekuatan wanita sebagai tema utama memercik warna berbeza kepada kanvas seni Nabila.

“Kali ini saya memilih lagu yang lebih agresif. Setakat ini, saya selesa dengan genre dan lagu yang rancak. Bukan tidak mahu lagu balada cuma saya tidak mahu terburu-buru dalam menyusun langkah.

“Saya sedar kemampuan vokal diri sendiri jadi saya lebih selesa memilih lagu yang sesuai. Kalau cakap fasal anugerah, siapa yang tak mahu, kan? Tapi saya tak mahu kejar yang orang lain ada atau buat.

“Saya usaha cara sendiri. Saya menunggu peluang itu datang tapi kita perlu berusaha. Minda kita perlu lebih terbuka terutama dalam menerima genre muzik baharu.

“Sebenarnya sebagai anak seni, kita bersaing dengan diri sendiri. Kita mahu diri kita esok lebih baik daripada siapa kita hari ini. Sebab itu saya selalu cabar diri untuk melakukan sesuatu yang baharu,” katanya.

Walaupun dirinya kini semakin selesa terbang di awangan seni, Nabila sedar tanpa sokongan peminat, tidak mungkin sayapnya melebar merentasi langit-langit seni yang punya cabaran sendiri.

Menerima kecaman bertubi-tubi, anak kelahiran Selangor ini bersyukur kerana peminat yang menjadi tulang belakangnya tidak pernah berpaling minat dan sentiasa memberi sokongan.

“Orang kutuk dan kecam saya, peminat bagi semangat. Mereka adalah kekuatan saya. Sokongan mereka bukan sekadar sehari dua, tetapi saya dapat lihat bagaimana mereka turut sama berkongsi suka dan duka.

“Mungkin jumlahnya tidak seramai mana, namun cukup untuk saya. Peminat bukan sekadar penyokong tetapi mereka adalah keluarga bagi saya. Kualiti berbanding kuantiti,” katanya.

Ditanya siapakah idolanya dalam dunia seni, tanpa sesaat menunggu, pantas nama pengcara dan pelakon popular, Neelofa terpacul keluar dari mulut Nabila. Dia sungguh mengagumi ikon belia itu.

“Saya cukup kagum bagaimana cara dia membawa diri menghadapi segala-gala jenis kecaman, kutukan dan tohmahan. Bukan mudah hendak menjadi seorang Neelofa tapi dia teruskan juga impiannya,” kata Nabila.

Tidak menolak untuk terjun dalam bidang perniagaan seperti idolanya, Nabila bagaimanapun tidak mahu terburu-buru dalam mengatur kehidupannya. Dia mahu mengukuhkan karier seninya.

“Karier saya baru hendak bermula. Baru hendak kumpul peminat. Nanti kalau sudah stabil, baru saya fikir soal perniagaan. Lagipun, kalau hendak berniaga tidak boleh main-main,” katanya yang baru dilantik sebagai duta Samsung.