Malam ini, Hairul Anuar yang menghasilkan lirik untuk lagu Harapan Raya dendangan Salimey menjadi tetamu jemputan segmen bual santai mingguan yang disiarkan secara langsung, setiap Rabu, 9 malam hingga 10 malam.

Berdurasi selama satu jam, Jom Chat yang dihoskan oleh Apak turut mengundang pelantun lagu Harapan Raya, Salimey yang berani untuk tampil dengan single kedua yakni terbaharunya itu.

Perbualan dengan Hairul Anuar yang pernah menghasilkan lirik untuk lagu berjudul Cindai, Hati Kama dan banyak lagi, dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan duet bersama Ratu Ethnik negara, Noraniza Idris yang ketika itu bernaung di bawah label SRC, akan bersambung malam ini menerusi penampilannya dalam Jom Chat.

Manakala Salimey selaku penyanyi pula, akan memberikan pandangannya tentang single hari raya yang didambakannya selama ini walaupun lagu-lagu raya dendangan Allahyarham Biduanita Puan Sri Saloma misalnya, tetap mendapat tempat di stesyen-stesyen radio.

Untuk merungkai persoalan, bagaimanakah Salimey berjaya mendapatkan khidmat Hairul Anuar untuk menghasilkan lirik Harapan Raya, jawapannya biarlah dijawab sendiri oleh Salimey.

Jom Chat dapat ditonton secara langsung di Facebook Utusan Online dengan cara daftar masuk ke FB Utusan Online, like page dan akan mendapat notifikasi apabila Jom Chat live malam ini. - UTUSAN ONLINE