Filem berlatarbelakangkan era 70-an itu menyelitkan pelbagai elemen liberal dan konservatif sepanjang penceritaan.

Teraju utama filem terbitan Primeworks Studios, Marsha Milan dan Johan As’ari yang bertandang ke Studio Utusan berkongsi cerita di sebalik pembikinan naskhah yang mendapat klasifikasi P13.

Kenaifan bawa ke lembah keji

KARAKTERNYA yang naif dan lemah-lembut akhirnya menjerat diri menjadi mangsa kerakusan manusia berhati hitam dan kejam.

Diperkosa tanpa belas kasihan dan enggan berasa teraniaya, gadis bernama Suri akhirnya membuat keputusan drastik lalu membunuh diri dek tidak sanggup lagi meneruskan hidup.

Meskipun itu sekadar lakonan, Marsha Milan London akui, watak Suri, seorang anak Orang Asli daripada suku Semai berjaya memecahkan tembok fobianya yang selama ini takut kepada ketinggian.

“Apabila saya baca skrip dan ada babak yang memerlukan saya untuk terjun dari tempat tinggi, pada mulanya saya meragui kebolehan diri.

“Tetapi saya sukakan cabaran lalu menerima tawaran itu dan melakukan sendiri adegan terjun dari tren ke gaung. Ketinggian itu menyamai lebih 10 tingkat sebuah bangunan.

“Walaupun pengarah ada menyediakan pelakon lagak aksi untuk babak itu, tetapi saya mahu cuba untuk melakukannya sendiri.

“Memang gayat waktu itu. Walaupun sudah lebih lima tahun penggambaran tapi memori tersebut masih segar dalam ingatan saya,” katanya yang menjalani penggambaran di Cameron Highlands dan Janda Baik, Pahang.

Selain gayat pada ketinggian, Marsha yang sudah 13 tahun mengabdikan diri sebagai pelaku seni sanggup menongkah melawan rasa yang ‘benci’ kepada karya berunsurkan seram.

Demi Suri, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga itu merelakan jiwanya untuk melibatkan diri dalam cerita seram.

“Saya mengaku saya seorang yang penakut dan tidak suka menonton cerita-cerita seram. Macam mana nak berlakon filem hantu kalau diri sendiri pun penakut? 

“Tetapi oleh sebab saya tertarik dengan jalan cerita Tujuh, saya melawan rasa takut tersebut.

Syukur alhamdulillah, tunjuk ajar pengarah dan kak Ellie Suriati selaku tenaga pengajar lakonan membuatkan semuanya dipermudah.

“Saya hanya fikir nak selesaikan watak Suri mengikut kehendak pengarah. Nasib baiklah saya tidak ada mengalami sebarang kejadian pelik atau mistik,” ulasnya yang turut menyumbangkan suara menerusi lagu Ku Bersumpah dengan penyanyi Qody untuk filem ini.

Selain Marsha dan Johan, Tujuh turut dibintangi oleh Pekin Ibrahim, Riz Amin, Siti Saleha, Aeril Zafrel, Deedee Nash dan Christina Suzanne. 

Meskipun mengambil masa lama untuk ditayangkan, Marsha yakin Tujuh ada ruang istimewa dan tersendiri untuk menarik minat penonton ke pawagam.

“Secara peribadi, saya bangga kerana diberi peluang untuk bekerja di bawah arahan Raja Mukhriz.

Apatah lagi dia meyakinkan saya dengan watak Suri biarpun jauh daripada karakter sebenar saya.

“Filem ini bukan sekadar karya ‘tangkap muat’. Biar bertahun-tahun tersimpan saya pasti naskhah ini tetap memberi kesan. Saya percaya penonton kita bijak menilai dan Tujuh antara produksi terbaik pernah saya sertai.

“Raja Mukhriz seorang pengarah berkaliber. Pengalaman sebagai pengarah fotografi tentu sahaja membuatkan dia cukup ‘cerewet’ khususnya dari segi persembahan dan sinematografi,” ulasnya yang turut melakonkan babak berjalan seperti labah-labah. 

Jadi mangsa kesilapan rakan

Johan As’ari juga melahirkan keterujaannya untuk melihat reaksi penonton terhadap tayangan Tujuh. Meskipun tidak meletakkan sasaran menggunung, filem-filem tempatan masa kini yang mendapat sokongan padu daripada peminat cukup memberikan semangat buat aktor ini. 

"Kalau bukan orang kita yang beri sokongan, nak harapkan siapa lagi?" katanya. 

Biar diperam lama, Johan yakin kualiti penceritaan yang menarik pastinya membuatkan filem ini meraih minat penonton.

“Saya bangga menjadi sebahagian daripada produksi ini. Walaupun karyanya sudah siap bertahun-tahun lalu, tapi sehingga kini kami masih lagi berhubung antara satu sama lain,” katanya.

Berkongsi cerita, Johan yang memegang watak sebagai penuntut kolej bernama Sam mengakui, tidak berdepan cabaran besar sepanjang penggambaran yang berlangsung hampir empat bulan.

“Filem ini ringan dan mudah difahami. Pun begitu, penonton tidak boleh membuat sebarang bayangan di penghujung cerita sebelum menonton hingga tamat.

“Watak Sam memang jauh daripada karakter asal saya. Dalam cerita ini, Sam digambarkan seorang yang suka berparti yang berlatarkan era 70-an.

“Namun disebabkan kesilapan rakannya, Sam menjadi mangsa atas perbuatan orang lain. Akibat kesalahan yang dilakukan, Suri telah menyumpah mereka dan bermulalah kejadian seram yang menjadi tonggak karya ini,” jelasnya.