Sebagaimana yang dijangka, tentunya suasana persembahan sepanjang konsert dirasakan tidak sama sementelah Dhani umpama tunjang utama band yang telah mencatat usia 33 tahun itu.

Bagai lauk tanpa garam, persembahan Dewa 19 tempoh hari tidak dinafikan seperti ada yang kurang.

Namun ia tetap dilihat berbisa kerana adanya Ari Lasso dan Once Mekel yang berjaya membawa peminat menelusuri nostalgia memori lama seleksi lagu hit Dewa 19 yang tidak pernah pudar dek waktu.

Disebut kangen dalam bahasa Indonesia yang bermaksud rindu, seisi stadium Sabtu lalu bersetuju kerinduan terhadap Dhani bagai terlalu kuat pada malam itu.

Sehinggakan, ada yang menitiskan air mata berharap alangkah baiknya andai Dhani dapat berkumpul bersama-sama teman seperjuangannya ini, untuk sebuah konsert yang sudah lama direncanakan.

Emosi semakin terusik ketika Ari menyampaikan lagu berjudul Hadapi Dengan Senyuman yang sangat dekat kaitannya dengan situasi yang dihadapi oleh Dhani pada waktu ini.

Kena dengan bait-bait liriknya, seluruh peminat mendoakan kesejahteraan buat Dhani sekali gus melayangkan pelukan semangat buat penyanyi dan komposer hebat tanah air itu dari kejauhan.

 

DUL, KECUNDANG JUA

Ketiadaan Dhani di posisi keyboard sebenarnya telah diganti oleh anak ketiganya, Abdul Qodir Jaelani atau Dul yang menyerap roh seorang pemuzik seperti bapanya pada malam itu.

Pada awalnya, Dul beraksi selesa untuk beberapa seleksi lagu yang dipersembahkan namun emosinya terusik saat Ari menyampaikan kata-kata semangat buat Dhani diiringi tayangan video pada skrin latar. Rangkaian kamera juga turut merakamkan momen Dul menitiskan air mata setelah berat menahan sebak selain disaksikan 7,000 pengunjung yang hadir.

Jelas, jejaka berusia 19 tahun itu juga rindu akan kehadiran bapanya sementelah hubungan Dhani dan kesemua anak-anaknya begitu rapat.

Hakikat nampaknya terpaksa ditelan oleh keluarga, teman-teman mahupun seluruh peminat apabila Dhani akur menerima hukuman penjara selama 18 bulan selepas didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan kata-kata kebencian dalam laman sosialnya.

Kerinduan sedikit terubat apabila tayangan klip video ucapan ringkas daripada Dhani disiarkan.

“Kepada Baladewa sekalian, saya memohon agar dapat mendoakan saya dan berharap dapat kembali bersama yang lain,” katanya.

Disambut penuh semangat, Dhani ternyata amat dekat di hati peminatnya di sini.

Terdahulu, konsert berdurasi tiga jam itu telah menyaksikan kumpulan ini menghadiahkan peminat dengan 20 buah lagu popular mereka selain kumpulan Andra & The Back Bone menjadi band pembukaan.