Menurut pelakon filem Nota itu, pada Ogos tahun lalu, dia telah diganggu di laman sosial Facebook dan Instagram dengan kata-kata berbaur ancaman serta ugutan.

"Wanita itu bukan sahaja mengugut saya, tetapi ahli keluarga terdekat juga terkena tempias ugutannya.

"Walaupun dia cuma menghantar pesanan menerusi laman sosial, gangguan yang dilakukan boleh dikatakan melampaui batas susila seorang manusia.

"Perkara tersebut berlarutan selama beberapa bulan sehinggalah saya membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail pada penghujung tahun lalu," katanya berkongsi cerita.

Tambah Maya, selepas pihak polis melakukan siasatan lanjut, seorang wanita telah ditahan reman selama tiga hari awal tahun ini di Melaka sebelum dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, wanita tersebut mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya dan hakim mengenakan hukuman denda atas kelasahan yang dilakukannya.

Pun begitu, meskipun pesalah tersebut telah dikenakan hukuman, Maya masih musykil dengan tindak-tanduk wanita itu, apatah lagi dia langsung tidak mengenalinya.

"Mengikut siasatan polis, motif wanita itu agak samar dan kurang jelas, cuma difahamkan, dia adalah seorang peminat fanatik dan juga berstatus ibu," dedah Maya.

Maya berkata demikian sewaktu ditemui selepas majlis pelancaran menghadiri majlis pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosial Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Berita Palsu di KLPAC, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE