Ditubuhkan pada tahun 2007 dengan menggunakan nama Kertas, Armada yang dianggotai oleh Rizal (vokalis), Radha dan Mai (gitaris), Andi (dram) dan Endra sebagai pemain gitar bass, melahirkan album sulung mereka berjudul Kekasih Yang Tak Dianggap.

Setahun kemudian, selepas selesa bergerak dengan nama Armada, kumpulan ini yang mempunyai 5 juta pengikut di Facebook hari ini, seterusnya melahirkan album debut mereka berjudul Balas Dendam dengan single berjudul Mau Dibawa Kemana dan Buka Hatimu berjaya menjadi lagu hits dalam kalangan peminat mereka.

Kumpulan Armada terus melahirkan album ketiga dan keempat, masing-masing berjudul Satu Hati Sejuta Cinta dan Pagi Pulang Pagi, mengukuhkan kehadiran lima anak muda ini dalam pentas hiburan di Indonesia.

Aura dan lagu-lagu dari Armada berjaya menerobos industri hiburan Malaysia dengan menghimpun ramai peminat sehingga meletakkan nama Armada di kedudukan antara lima artis berkumpulan di Indonesia yang mempunyai peminat yang ramai dan fanatik.

Kejayaan yang dicipta menerusi album demi album membuatkan Armada melahirkan album terbaharu mereka berjudul Maju Terus Pantang Mundur.

Album Maju Terus Pantang Mundur turut memuatkan lagu berjudul Asal Kau Bahagia yang berjaya meraih view terbanyak di platform media sosial YouTube sebulan selepas video lirik disiarkan.

Bagi para peminat Armada, pada Ahad ini, meraka akan berada Quill City Mall, Kuala Lumpur bagi sesi bertemu peminat bermula dari pukul 3 petang sehingga 5 petang dalam majlis Meet & Greet With Armada.

Peluang sesi bertemu peminat diadakan secara terbuka dan percuma dan para peminat Armada boleh mendapatkan tandatangan dan bergambar dengan kelima-lima anggota kumpulan ini. - UTUSAN ONLINE