Pengarah, Syamsul Yusof dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Finas hari ini berkata, pemuda berkenaan, Muhammad Izwan Shah Kamal Shah, 30, didapati telah menyebarkan naskhah arahannya itu menerusi dua laman sosial iaitu Facebook dan Instagram.


“Surat saman telah diserahkan kepada Orang Kena Saman (OKS) pagi tadi.


“Skop Productions telah membuat satu laporan di Balai Polis Setapak pada 20 September lalu dan perbicaraan di mahkamah akan bermula pada 22 Oktober ini.


“Pihak kami berjaya mengesan beberapa individu yang melakukan pelanggaran hak cipta tetapi selepas diberi amaran, mereka meminta maaf dan memadamkannya daripada capaian Internet,” katanya.


Bagaimanapun menurut Syamsul, pihaknya tidak pasti sama ada OKS adalah individu yang bertanggungjawab merakam visual secara curi dan disebarkan kepada umum.


“Apabila perbicaraan bermula nanti, baru boleh tahu maklumat terperinci.


“Tindakan ini adalah satu pengajaran kepada orang lain yang berniat melakukan kesalahan sama dan tiada kena mengena dengan kutipan box-office yang diperoleh,” jelasnya.


Tambah Syamsul, sejak mula ditayangkan pada 30 Ogos lalu, Munafik 2 berjaya meraih kutipan sebanyak RM43 juta. - UTUSAN ONLINE