Kalau ada wajah jelas lelaki itu sekali pun, pasti Elly akan kaburkan atau meletakkan ikon emoji. Jangan haraplah dia nak ‘belanja’ gambar kekasihnya itu secara terang-terang.

Mestilah Elly perlu berhati-hati. Takkanlah nak dedahkan pujaan hatinya itu pada saat hubungan mereka belum ada apa-apa ikatan yang sah itu. Nanti kena kebas orang, siapa nak tolong jawab tu?

Disebabkan terlalu menyorokkan wajah kekasihnya, ada yang berbisik ke telinga Mary yang kekasih Elly itu suami orang. Eh, mana mungkin. Lagipun dia pernah umumkan yang kekasihnya itu bujang.

Salah faham kot. Tapi itu bukan isunya. Isunya di sini apabila ada yang tak suka tindakan Elly menyorokkan kekasih ini. Lebih baik dia tak payah paparkan terus wajah kekasih dia dalam Instagram.

Sebab dalam kabur-kabur wajah kekasih yang disorokkan Elly itu, ada antara wanita di luar sana yang boleh kenal pasti juga.

Hinggakan dah beberapa kali juga Mary mendengar rintihan beberapa wanita yang mengadu perkara yang sama. Bukannya apa, mana risau kot-kot dalam diam-diam kekasih mereka itu ada hubungan sulit dengan Elly.

Kalau betul pun perkara itu terjadi, sekurang-kurangnya mereka boleh memujuk hati yang duka itu. Lagipun, takkanlah nak menyingsing lengan bergaduh dengan Elly semata-mata kerana lelaki.

Tak payahlah nak tunggu waktu malam berinai, baru dia nak dedahkan wajah kekasihnya itu kepada umum. Lama sangat tu Elly, kang ada yang merusuh di sana pula. Macam mana itu?