Antara adegan ikonik tersebut ialah ketika hamba perempuan Ali Baba bernama Marjina lakonan seniwati Datuk Sarimah Ahmad menjirus minyak panas ke dalam deretan tempayan, iaitu lokasi persembunyian 40 penyamun yang merancang merompak rumah tuannya.

Sebaik sahaja Marjina dan rakannya menjirus minyak panas ke dalam setiap tempayan, seorang demi seorang penyamun melompat keluar dari situ, menjerit dan menggelupur kesakitan lalu mati.

Itu jalan cerita rekaan dalam filem. Dalam dunia realiti pula, ramai yang tidak tahu, Abdul Kadir Mamat, 77, atau mesra dengan panggilan Pak Dir .

Pak Dir merupakan salah seorang daripada ‘penyamun’ terbabit yang masih hidup sehingga kini.

“Kalau nak cari saya dalam filem itu mudah sahaja, saya merupakan penyamun pertama yang menjerit kesakitan akibat dijirus dengan minyak panas oleh Marjina.

“Dalam filem itu kami memang dijirus dengan minyak yang menggelegak tetapi ajaibnya, minyak tidak panas apabila terkena kami hasil kebijaksanaan P. Ramlee. Macam mana dia buat, saya terpaksa rahsiakan,” katanya.

Dalam industri filem Melayu yang dilihat gah ketika itu, Pak Dir mengakui dia bukanlah figura popular. Dia cuma pelakon tambahan biasa-biasa, dan tidak pernah sekalipun memegang watak besar.

Pun begitu, hidup Pok Dir yang dianggapnya sebagai biasa itu ternyata menyimpan pelbagai sejarah hitam dan putih yang boleh dijadikan renungan generasi muda, termasuk peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

MENUMPANG S.M SALIM

DILAHIRKAN pada 1 Jun 1940 di Kampung Berhala Lima, Kota Bharu, Pak Dir kini menghabiskan usia emasnya bersama isteri, Hasmah Yusof, 53, melalui perkahwinan kali kelima. Mereka berdua menetap di Kota Jembal dan tidak mempunyai zuriat.

Pertemuan penulis dengan Pak Dir baru-baru ini menyingkap pengembaraan hidupnya, bermula dengan kisah dia membawa diri keluar dari Kelantan kerana merajuk, menjadi pelakon tambahan dalam filem-filem arahan P. Ramlee sehinggalah dia hampir maut ketika rusuhan 13 Mei 1969.

Menurut Pak Dir, ketika nekad mahu merantau, dia tidak pernah terfikir untuk terjebak dalam industri seni perfileman sehingga mengenali nama-nama besar seperti P. Ramlee.

“Sekitar 1961, ketika usia saya kira-kira 20 tahun, keluarga kekasih tidak merestui hasrat kami untuk bernikah. Mereka kata daripada benarkan dia bernikah dengan saya, lebih baik anak mereka itu disalai di atas api.

“Saya kecewa dan merajuk teruk sehingga memutuskan mahu ke Kuala Lumpur,” katanya sambil memberitahu, dia berjaya meninggalkan Kota Bharu dengan cara menumpang van akhbar Utusan Melayu.

“Saya menumpang van Utusan Melayu itu bersama wang 20 sen sahaja dalam poket. Nak makan pun tak mampu. Itulah akibat kalau bawa diri kerana merajuk namun saya kuatkan diri tempuh juga keadaan itu,” katanya.

Setibanya di Kuala Lumpur, dia tinggal di rumah seorang rakan dikenali sebagai Setapa di Kampung Semarang, Chow Kit yang kemudian membawanya berkenalan dengan Allahyarham Tan Sri S. M. Salim.

“Allahyarham ini berhati mulia. Saya pernah menumpang di rumahnya di Kampung Baru pada masa itu. Dia tanya saya mahu berlakon tak, watak pelakon tambahan sahaja dan saya jawab mahu.

“Saya pun ikut Allahyarham ke Singapura sebelum diberi peluang menjadi pelakon tambahan filem-filem P. Ramlee seperti Kanchan Tirana, Ali Baba Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok serta banyak lagi,” katanya.

Satu kelebihan ada pada Pak Dir, dia mampu mengingati dengan jelas peristiwa-peristiwa besar yang terjadi dalam hidupnya termasuk insiden lucu ketika penggambaran Ali Baba Bujang Lapok.

“Ada satu adegan kami para penyamun ditipu Marjinah yang menulis tanda pangkah pada jamban. Kami menyangka itu rumah dan mengerumuninya sehingga jamban itu roboh dan akhirnya kami terjatuh di atas tahi beramai-ramai.

“Sebenarnya kami memang terkena tahi betul. Jamban itu cuma prop tapi ada orang sabotaj, dia pergi berak di situ tanpa pengetahuan kami. Walaupun masing-masing dah busuk berbau tahi, P. Ramlee kata teruskan, jadi kami teruskan juga berlakon,” katanya sambil tertawa.

Setelah tidak lagi aktif menjadi pelakon tambahan di Singapura, Pak Dir kembali ke Kuala Lumpur pada 1969 dan tinggal di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Dia bekerja sebagai tukang rumah dan tinggal bersama dua rakan dari Kelantan iaitu Wan Mohamad Wan Abdullah, anak kelahiran Kampung Limbat, Kota Bharu serta Yaakob dari Kampung Laut, Tumpat.

PANIK

“PADA bulan Mei, keadaan tengah kecoh dengan rusuhan kaum dan semua rakyat dikenakan perintah berkurung. Suatu hari, pihak keselamatan melonggarkan perintah berkurung. Jadi saya dan Yaakob pergi menonton filem Hindustan di panggung wayang Federal, Chow Kit.

“Itu adalah kali terakhir saya bertemu Yaakob sebelum dia hilang, dipercayai maut dalam rusuhan,” katanya.

“Tiba-tiba pintu di bahagian belakang panggung dibuka dan sekumpulan lelaki berpedang meluru masuk sebelum menetak sesiapa sahaja di dalam panggung. Suasana sangat kelam-kabut. Saya dan rakan dapat akal menyusup di bawah mayat yang bergelimpangan.

“Ketika cuba melarikan diri kami ternampak seorang wanita mengandung diserang kumpulan terbabit dan cuba tolong dia tapi kami sendiri jadi mangsa,” katanya sambil memberitahu itu perkara terakhir yang diingati sebelum terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Sedar-sedar, saya sudah berada di HKL, sekitar pukul 3 petang keesokan harinya, dalam keadaan seluruh badan berbalut. Sebanyak 138 bungkus darah dimasukkan ke tubuh saya.