Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli hadir ke majlis anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), National Diabetes Institute (NADI) bersama-sama Mareepoosa Creative & Event ini.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan tiga penyanyi wanita, Ayu Damit, Nourul Wahab dan Liza Hanim malah mereka turut tampil bertiga menyampaikan lagu Inggeris berjudul I’ll Be There.

Selain berhibur dan menikmati hidangan makan malam, pada majlis malam itu sumbangan sebanyak RM170,000 turut diserahkan kepada Pengerusi Eksekutif Kehormat NADI, Emeritus Professor Datuk Dr. Mustaffa Embong.

Sumbangan tersebut diterima daripada J&J Rochestra Sdn. Bhd (RM80,000), Mary Jardin (RM30,000), Tropicana Corporation Bhd (RM 20,000), Pharmaniaga Bhd (RM20,000) serta sumbangan peribadi daripada Hui Xuan Ng berjumlah RM20,000.

Sementara pengasas kasut jenama Nottingheels, Amy Chew turut menyokong dalam menjayakan majlis amal ini dengan tampil memberi sumbangan berupa kasut bunion.

Sumbangan yang diterima pada majlis amal tersebut diharap dapat meringankan beban kos perubatan yang dianggarkan mencecah antara RM300 sehingga RM400 sebulan bagi setiap seorang pesakit.

Ini memandangkan rata-rata kanak-kanak penghidap Diabetes Jenis 1 lahir dalam kalangan keluarga yang berpendapatan sederhana ke bawah dan mereka ini memerlukan sokongan moral bantuan kewangan untuk kos perubatan.

Selain mengumpul dana, penganjuran majlis tersebut turut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kumpulan kanak-kanak penghidap Diabetes Jenis 1.

NADI bukan sahaja membantu kanak-kanak tetapi juga semua penghidap diabetes dalam negara yang memerlukan bantuan perubatan. Bagaimanapun majlis amal yang berlangsung Sabtu lalu diadakan khusus bagi mengisi dana Kanak-kanak Diabetes Jenis 1. - UTUSAN ONLINE