Sepanjang 30 tahun menghiburkan orang ramai, DBK disifatkan sebagai antara karya terbaik yang pernah dihasilkan oleh Ramli yang juga terkenal dengan panggilan Papa Rock.

Sesungguhnya, melodi DBK masih lagi segar dan relevan dalam konteks persekitaran semasa bahkan lagu itu sering menjadi pilihan bagi para penggemar karaoke.

Lantaran karya berkenaan mempunyai nilai nostalgia yang tinggi menyebabkan Ramli dan Khadijah memilih untuk merealisasikan impian mereka mengadakan Konsert Doa Buat Kekasih: 30th Anniversary Tour 2018 di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 Oktober depan.

Sebetulnya, sudah tidak terhitung berapa kali seniman dan seniwati tersohor itu bercita-cita untuk membawa DBK ke pentas konsert.

Seperti yang didedahkan Khadijah atau lebih mesra disapa Khaty, setiap kali mereka bertemu atau menyanyikan lagu berkenaan di mana-mana persembahan, idea untuk mengadakan konsert DBK pasti akan menjadi subjek perbincangan.

“Sudah bertahun-tahun hal ini (konsert DBK) disebut. Saya dan Ramli tidak pernah jemu bercerita mengenai keinginan buat konsert. Alhamdulillah, akhirnya tercapai cita-cita itu,” ujar Khaty, penghibur yang disegani ramai.

Penantian dua penyanyi ternama itu terjawab akhirnya apabila mereka sepakat menjadikan ulang tahun DBK diraikan dalam suasana lebih kasual di pentas Istana Budaya yang sangat sinonim sebagai pentas bertaraf antarabangsa.

“Akhirnya tahun ini direalisasikan pada ulang tahun ke-30. Boleh sahaja kita adakan semasa jubli perak pada tahun ke-25 tapi saya rasa lebih istimewa bila diraikan pada usia 30 tahun,” kata Ramli pula.

Sekalipun, DBK bakal diraikan dalam skala yang lebih besar di Istana Budaya namun kemasyhuran lagu berkenaan juga akan dipentaskan terlebih dahulu dalam sesi jelajah bermula dengan persembahan di Persada Johor Convention Centre pada 7 September yang merupakan konsert pembukaan.

Pementasan di negeri selatan tanah air itu dianjurkan dengan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation.

Selesai persembahan di Johor, Ramli dan Khadijah akan muncul di Istana Budaya sebelum DBK diterbangkan ke Singapura bagi menjayakan persembahan di Esplanade Singapura pada 17 Oktober. Persembahan di negara jiran itu dianjurkan dengan kerjasama AIN Society (Social Services Organization for Cancer Patient).

Sementara tarikh dan tempat pementasan di lokasi-lokasi lain seperti di Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu; Melaka, Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Alor Star, Kedah pula akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Seperti persembahan sebelum ini, untuk Konsert Doa Buat Kekasih: 30th Anniversary Tour 2018, Ramli mengekalkan pemuzik profesional daripada kumpulan Soul Journey untuk mengiri persembahan beliau dan Khadijah.

Pemuzik-pemuzik terdiri daripada Aji Samin (gitar utama), Rizal Halim (gitar kedua), Din Safari (bes), Rozario Rasul (keyboard), Tom Anuar (dram) dan Paang Zaman (gendang). Turut diundang Mohardiman Ismail (seruling) dan Ude Wahid (akordian/biola).

“Judul lagu datang dulu”

DI sebalik populariti DBK, tentu sekali ada yang tertanya-tanya bagaimana Ramli memperoleh idea untuk menghasilkan sebuah karya yang bersifat malar segar serta sarat dengan nuansa muzik pop Melayu.

Berkongsi pengalaman penghasilan lagu DBK, legenda yang pernah menempa kemasyhuran dengan kumpulan Sweet Charity itu berkata, ilham menghasilkan melodi itu diperoleh semasa beliau berada di studio rakaman, King Studio menantikan kumpulan Lefthanded menjalani rakaman.

“Saya petik gitar dan ilhamnya datang. Saya sudah ada judulnya Doa Buat Kekasih tapi pada masa itu tanpa lirik. Apabila saya lagukannya orang sekeliling yang mendengarnya pun menyukainya. Malah ada yang meminta untuk dirakam.

“Saya ada juga mencuba penyanyi lain namun saya hanya berpuas hati bila diberikan kepada Khadijah,” kata Ramli yang mengakui lagu tersebut juga banyak kenangan dan cerita di sebaliknya.

Selain lirik lagu berkenaan yang menyimpan maksud mendalam mengenai pengalaman sepasang kekasih dalam hubungan cinta, yang penting jelas Ramli, DBK juga dengan mudah boleh meredakan tekanan beliau lantaran keseluruhan naskhah itu memiliki mesej-mesej yang positif.

“Kadang-kadang bila mengadakan persembahan, saya dapat rasakan ketegangan. Bukan saja saya tetapi pemuzik juga. Bila saya sedari situasi itu, saya akan mengalihkan mood dengan memberikan isyarat menyanyikan lagu Doa Buat Kekasih. Bila dipersembahkan tekanan kami boleh hilang,” ujarnya.

Dalam persembahan konsert DBK kelak, Ramli dan Khadijah juga sudah mempunyai senarai panjang lagu-lagu yang bakal dipersembahkan mereka.

“Kami sudah ada idea bagaimana perjalanan konsert ini. Saya hanya boleh beri bayangan bahawa konsert ini akan mengundang nostalgia khususnya kepada mereka yang pernah membesar dengan lagu-lagu nyanyian saya dan Khadijah,” ujar Ramli yang enggan mendedahkan konsep persembahan beliau dan Khadijah.

Selain DBK, Ramli dan Khadijah juga mempunyai sebuah lagi lagu duet yang popular iaitu Ku Miliki Bayanganmu yang juga akan dipersembahkan pasangan berkenaan pada konsert yang hanya diadakan satu malam sahaja di Istana Budaya.

“Saya dan Khadijah sangat teruja untuk menjayakan konsert ini. Sudah tentu saya dan Khadijah akan memberikan kelainan serta mengembalikan momen-momen indah yang pernah dilalui oleh para peminat kami. Kami mahu mereka pulang dengan senyuman dan kepuasan,” kata Ramli lagi.