Lebih cekal dalam menghadapi setiap cabaran mendatang, ketika ini dia juga mula mengerti apa yang dilalui arwah suami dalam membekalkan kehidupan yang baik untuk dirinya dan anak-anak.

Mengakui bukan mudah untuk dia melalui kehidupan sebagai ibu tunggal selepas hampir 25 tahun bergelar isteri kepada Johan Nawawi, namun dia yakin aturan yang sudah ditakdirkan ini memberi hikmah yang indah untuk mereka sekeluarga.

“Setahun tiga bulan arwah meninggalkan kami, ketika ini saya menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan ayah buat anak-anak. Selain itu saya turut menguruskan dua perniagaan yang menuntut waktu yang agak panjang setiap hari.

“Yang boleh saya kongsikan kehidupan memang semakin sibuk, namun pada masa yang sama, selesa,” katanya ketika ditemui Mega HITS pada majlis pelancaran single Ada Dalam Tiada baru-baru ini.

Dikurniakan empat orang cahaya mata menerusi perkongsian hidupnya dengan Allahyarham Johan, kongsi Nora, ketika ini anak-anaknya Mohd Syakir Iman, 25; Muhd Syakir Alif, 19; Putri Nur Dahlia, 14; dan Putri Nur Fatehah, 5, sangat memahami yang sedang dilaluinya.

Mengambil alih tanggungjawab untuk mencari rezeki buat keluarganya menjadi fokus utama.

Kata Nora, mengenali dunia nyanyian dengan bantuan suami, ternyata bidang seni akan terus menjadi lapangan kerjayanya.

“Siapalah Nora tanpa Johan, dia yang banyak membantu saya untuk bergelar seorang penyanyi. Saya memulakan langkah dalam bidang ini dengan bimbingan dia dan saya juga tidak mahu nama suami saya terus dilupakan begitu sahaja.

“Saya akan teruskan perjuangan ini dan pada masa yang sama, merealisasikan impian suami saya yang tidak sempat dilaksanakan,” katanya lagi.

Realisasikan impian suami

Bercakap mengenai album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi, kongsi Nora, idea untuk album itu sudah disuarakan oleh suaminya setahun sebelum dia meninggal.

Kata Nora, dia boleh sahaja untuk melupakan impian tersebut, tetapi yakin inisiatif yang diambil untuk merealisasikannya mampu memberi manfaat bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga generasi masa kini.

“Saya mahu orang tahu Johan tidak sekadar cipta lagu untuk saya, tetapi ramai lagi penyanyi lain. Melalui album ini mereka akan tahu siapa artis-artis yang pernah bekerjasama dengan arwah suami saya.

“Bagaimanapun bukan mudah untuk melalui setiap proses dalam album ini kerana saya tahu setiap lagu ciptaannya mempunyai makna tersendiri, sekali gus membuatkan saya sedih.

“Namun sebagai isteri saya perlu laksanakan impian terakhirnya sebab itu yang dia mahu. Rasa sangat lega apabila album ini siap dan yang paling penting memberi peluang kepada khalayak untuk terus menikmati hasil karya arwah,” kata Nora.

Selain Nora, antara artis yang pernah mendapat sentuhan emas Johan adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Kris Dayanti, Liza Hanim dan Dayang Nurfaizah.

Mempunyai 31 lagu yang dimuatkan dalam album tersebut antara lagu yang paling istimewa buat diri Nora tentunya Bidadari.

Menggunakan suara asal Johan, jelas Nora, ini adalah kenangan paling indah buat mereka yang mengenali arwah suami.

“Memang selalunya apabila dia rakamkan sesebuah lagu dia akan menyanyikan dahulu tetapi secara suka-suka. Tetapi apabila dengar lagu yang dirakamkan ini, boleh tahu perbezaan sebab dia sangat bersungguh-sungguh.

“Memang ada yang kata mungkin boleh cari penyanyi lain bagi menyampaikan lagu itu, tetapi saya rasa tidak perlu kerana saya mahu kekalkan suara Johan untuk lagu ini,” katanya.

Cukup tersentuh untuk melihat dia menyampaikan lagu baharunya, Ada Dalam Tiada, akui Nora, ini adalah lagu paling peribadi.

Menggambarkan yang dilalui selepas pemergian suami, kongsi Nora, dia pada mulanya bertemu dengan penulis lirik terkenal Habsah Hassan untuk menyiapkan lagu ini.

“Apabila dia minta saya gambarkan yang saya lalui, saya pada mulanya sukar mahu terangkan. Cuma saya kata arwah macam ada tetapi tiada. Selepas beberapa ketika dia siapkan lirik dan apabila saya amati memang setiap kata-kata dalam lirik itu menggambarkan apa yang saya rasa.

“Lagu ini tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Untuk melodi saya gunakan khidmat Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen. Hasilnya memang saya berpuas hati,” katanya.

Kali pertama merakamkan lagu tanpa kehadiran suami, Nora pada majlis yang sama turut melancarkan muzik video Ada Dalam Tiada.

“Saya memulakan karier dalam bidang ini dengan arwah dan apabila saya meneruskan usaha ini tanpa dia bukan sesuatu yang mudah. Dalam lagu ini menceritakan sendiri yang dilalui saya.

“Lagu ini adalah teristimewa untuk dia yang selama ini menjadi tulang belakang kepada karier saya,” katanya lagi.