Tatkala Datuk Norman Abdul Halim mengumumkan pembubaran KRU, setiap yang hadir memandang sesama sendiri. Adakah benar frasa didengar atau itu hanya satu cuitan hati?.

Namun perlahan-lahan Norman tunduk dan memandang sepi ke lantai. Dia tidak bermain madah, yang diungkap adalah keputusan yang dimuktamadkan bersama-sama dua adiknya, Edry dan Yusry.

Perjalanan 25 tahun berhenti di sini. Saat mereka meraikan jubli perak dalam kemuncak karier, mereka mengambus nama KRU dengan meninggalkan kenangan yang kekal terpahat.

Membelek catatan sejarah kumpulan yang ditubuhkan pada 1992 ini, pelbagai kenangan dan memori terukir diiringi lagu-lagu hits dendangan mereka.

“Ada dua perkara yang perlu kami katakan hari ini. Pertama, Konsert Gergasi 25 KRU yang bakal diadakan di Istana Budaya pada 4 Mei hingga 6 Mei depan adalah konsert terakhir kami.

“Dan yang kedua, pada tanggal 6 Mei iaitu malam terakhir konsert juga, kami secara rasmi dengan berat hati akan membubarkan KRU. Konsert itu adalah rangkuman 25 tahun perjalanan kami,” kata Norman sambil menahan air mata.

Memuktamadkan sesuatu keputusan tidak semudah mematahkan sebatang pensil. Pastinya mereka berdepan dengan tekanan dan otak ligat berfikir adakah benar langkah yang diambil.

Diaju soalan, apakah yang memungkinkan mereka membubarkan kumpulan itu, Edry dengan tenang menjawab, tiada lagi yang mereka mahu kejar sebagai penghibur dalam industri seni muzik tempatan.

Benar 25 tahun satu tempoh yang cukup lama dan telah mematangkan mereka sebagai individu. Melihat perjalanan karier yang mereka lalui, pasti banyak yang dibanggakan.

Bergelar artis bukan sekadar memercik aura populariti sebaliknya mereka menggunakan peluang itu untuk meluaskan empayar atas jenama KRU. Lihat sahaja kejayaan demi kejayaan yang diraih dan terukir.

Sebagai pengemudi, Norman berjaya menjadikan KRU sebagai satu jenama yang disegani. Edry berjaya mengukir nama sebagai salah seorang komposer terbaik dan Yusry pula memuncak dengan kehebatan dalam dunia perfileman.

“Kami akan meneruskan kehidupan. Kerja-kerja kami di belakang tabir tetap berjalan seperti biasa. Saya hanya mahu meluangkan lebih masa bersama-sama keluarga.

“Anak saya adalah seorang autisme. Jadi dia memerlukan lebih perhatian daripada keluarga. Yang saya lalui selama 25 tahun ini adalah satu rekod peribadi yang sangat indah.

“Sangat bangga dengan kematangan setiap daripada kami dalam industri seni. Kita tidak muda untuk selama-lamanya. Jadi yang kami tinggalkan adalah satu kenangan untuk anda semua,” kata Edry yang merupakan anak ketiga dari empat adik beradik.

Mengakhiri langkah sebagai KRU dengan hati yang sangat berat, Yusry mengakui sebenarnya tidak pernah memasang impian untuk bergelar artis. Penglibatannya adalah satu hikmah dan ketentuan yang cukup bermakna.

Tiada erti penyesalan dalam menoktahkan kumpulan yang cukup popular dengan lagu Oh! La La dan Fanatik itu, Yusry bersyukur KRU telah membentuk mereka menjadi insan yang lebih matang dan mempunyai visi yang dinamik.

“Kami sudah tidak nampak apa lagi yang ingin kami kejar dan cari. Konsert skala besar dan kecil sudah kami laksanakan. Lagu-lagu dan 13 album sudah kami hadiahkan kepada peminat.

“KRU telah menjadikan siapa kami sekarang. Kalau bukan kerana KRU, mungkin saya tidak akan jumpa isteri saya, Lisa Surihani. Identiti KRU cukup matang. Bukan tidak sedih (dengan pembuburan) cuma segala-gala kepuasan itu sudah dirasai.

“Kita mahu terus melangkah meneruskan kerjaya peribadi masing-masing. Agak mustahil untuk melihat kami bertiga di atas pentas lagi. Konsert Gergasi 25 KRU adalah yang terakhir,” kata Yusry yang merupakan pengarah filem adiwira popular, Cicakman dan Hikayat Merong Mahawangsa.

Single dan album GERGASI

Mengakhiri karier seni dengan pelancaran single baharu, Tahan Lama pada 30 April ini, Norman berkata, lagu tersebut adalah sebagai tanda ucapan selamat tinggal kepada semua peminat.

Berkolaborasi dengan penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow, lagu tersebut juga akan dimuatkan dalam album kompilasi 30 lagu KRU, GERGASI yang bakal dilancarkan pada malam konsert mereka nanti.

“Sekarang kemajuan teknologi sudah cukup hebat. Kami rekod lagu Tahan Lama ini secara individu. Ini lagu terakhir yang menutup kerjaya kami selama ini. Sebak tapi kami perlu teruskan.

“Terima kasih kepada semua peminat yang selama ini menyokong KRU. Tanpa anda, kami tidak akan berdiri di sini hari ini. Kami mahu mengakhiri jenama KRU dengan satu kenangan terindah,” katanya.

Tidak mungkin untuk kita sebagai peminat melihat lagi trio adik beradik popular ini beraksi di atas pentas. Ucapan selamat tinggal menoktahkan riwayat seni mereka selama 25 tahun dalam industri seni suara.

Memetik kata-kata Norman, mereka seperti sedang berlari jarak jauh. Pelbagai cabaran, kenangan dan keperitan sudah dilalui dengan jaya.

Yang tinggal kini hanya untuk tiba ke garisan penamat.

“Apabila saya tengok gambar-gambar lama, saya tidak kenal siapa saya yang dahulu. Usia KRU lebih tua daripada usia kami sendiri yang ketika itu bermula pada usia yang cukup muda.

“Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih,” akhirnya menutup bicara.

Konsert dan keluarga

Menoktahkan riwayat seni suara KRU tidak menjarakkan mereka adik beradik. Tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, Edry berkata, keputusan membubarkan KRU bermula lebih kurang setahun yang lalu.

Mendambakan kehidupan lebih peribadi, Edry juga bakal berhijrah sementara ke luar negara demi memberi kehidupan yang lebih baik buat anak ketiganya yang menghidap autisme.

“Norman, Yusry ada perancangan sendiri. Norman misalnya, mahu fokus kepada aktiviti kemasyarakatannya. Yusry dengan kerjanya dan saya mahu fokus keluarga.

“Kalau kata berhijrah terus itu tidak. Saya akan kembali ke tanah air sekiranya khidmat diperlukan. Cuma anak saya memerlukan sekolah khas untuk autisma dan di Malaysia, susah hendak cari.

“Saya sibuk ajar orang menyanyi tapi saya sendiri tidak boleh mengajar anak bercakap. Kita lihat setahun dahulu. Kalau anak-anak selesa, saya akan terus tinggal di sana,” katanya yang ketika ini memilih negara Eropah untuk menetap.

Beralih topik kepada konsert konsert terakhir selepas enam tahun tidak beraksi, Yusry merasakan pemilihan lagu adalah sesuatu yang cukup mencabar kerana bukan mudah menyenarai pendek 20 lagu daripada ratusan karya yang pernah mereka nyanyikan.

“Ini kali pertama kami beraksi di pentas yang cukup gah. Kami pernah buat konsert di stadium dengan ribuan peminat yang hadir. Tapi kali ini berbeza, persiapan perlu lebih rapi dan kemas.

“Kami akan kekalkan elemen nostalgia dan kenangan. Sebenarnya konsert tiga malam berturut-turut adalah sesuatu yang gila juga. Kena banyakkan latihan fizikal dan kuatkan mental,” katanya.

Tidak merancang merancang untuk menjemput artis-artis di bawah naungan KRU, kata Yusry:

“Kami rasa ini adalah konsert terakhir jadi lebih baik jika kami hiburkan peminat dengan barisan lagu-lagu kami sahaja. Cuma barisan pemuzik dan konsep perlu dititik beratkan dan selari.

“Yang saya dapat janjikan adalah satu persembahan yang berbeza. Terima kasih kepada Perodua yang sentiasa memberi sokongan dan menjadi penaja utama kepada konsert ini,” jelas Yusry yang juga bapa kepada dua orang anak ini.