Nita berkata, lagu ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Iman Imran itu merupakan pertaruhannya dalam terus kekal relevan dalam dunia seni yang dibanjiri oleh penyanyi baharu.

Mengakui sedikit gementar dengan penerimaan peminat, namun penyanyi berusia 38 tahun ini teruja apabila berjaya menghasilkan single tersebut yang dianggap hadiah tahun baharu untuk semua peminat.

“Untuk muncul kembali selepas beberapa tahun menghilangkan diri adalah sesuatu langkah yang besar. Cuma saya memang meletakkan harapan dan berdoa agar semuanya dipermudah.

“Saya juga berharap agar peminat dapat menerima kehadiran semula saya dalam industri. Lagu Hadirlah Cinta ini sangat bermakna dalam hidup saya,” katanya.

Nita yang merupakan naib juara pertandingan realiti, Malaysian Idol sebelum ini pernah menghasilkan sebuah album dan popular dengan lagu Kusut serta Aku. - UTUSAN ONLINE