Daripada pengumuman tersebut, kelihatan lagu popular nyanyian penyanyi terkenal Siti Nordiana, 33, iaitu Terus Mencintai gagal untuk mara ke AJL32, sekali gus menjadi perbualan hangat netizen yang mempertikaikan keputusan juri.

Malah, ada yang mengkritik lagu Warkah Untukmu nyanyian Ara Johari tidak wajar diberikan peluang ke AJL32 lantaran liriknya yang berulang-ulang sebanyak enam kali meskipun melodinya sedap didengar.

Pun begitu, ketua juri sepanjang berlangsungnya SFMM32, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan, lagu Warkah Untukmu mempunyai kekuatan tersendiri untuk melayakkan karya ciptaan Hang Nadim dan Laq itu mara.

“Ya betul, lirik bahagian korusnya diulang banyak kali tetapi melodi dan susunan muziknya bagus. Itu perlu diberi perhatian,” jawabnya ringkas memberi jawapan terhadap pertikaian tersebut.

Bagaimanapun Mokhzani tidak mengulas lanjut mengenai kekurangan yang dimiliki oleh lagu Terus Mencintai ciptaan sepenuhnya oleh Nana Alias atau Siti Nordiana sendiri yang menyebabkan karya berkenaan tidak lolos ke AJL32. - UTUSAN ONLINE