Namun kini wanita yang pernah popular dengan lagu Got To Go ini kembali dengan penjenamaan nama baharu buat peminat seni suara tanah air. 

NJWA, itulah nama pentas yang digunakan artis wanita ini yang pernah bergandingan dengan Maliq (Too Phat) untuk lagu Kau Yang Punya.  

Jelas NJWA yang kembali ke Malaysia mempromosikan konsert sempena Hari Wanita pada Mac ini, penjenamaan nama baharu itu perlu memandangkan dia tidak mahu lagi orang keliru dengan namanya. 

“Sebelum ini memang pakai nama Najwa, tapi bila seringkali orang keliru, jadi saya tambah nama Mahiaddin di belakang. Tapi nama Najwa Mahiaddin panjang pula. Lagi pun tidak pernah saya menjadikan Najwa Mahiaddin sebagai nama pentas. 

“Apabila hendak ketengahkan lagu baharu atau stail muzik yang saya bawa dan dibandingkan pula dengan video klip lagu Got To Go, macam tak kena pula dengan nama Najwa Mahiaddin. Sebab itu saya cuba nama yang sedikit urban dan moden.

“Apabila ke luar negara, mat salih sering keliru mahu mengeja nama saya. Mereka tak biasa. Jadi, apabila saya jenamakan kembali nama NJWA, lebih mudah untuk saya. 

“Memandangkan kita berada  dalam era digital dan semuanya online, apabila tengok nama NJWA dan semuanya huruf besar, jadi itu adalah saya. 

“Maka, nama NJWA sekarang memang nama pentas yang saya guna. Ia bukan salah eja atau silap tulis atau apa pun. 

“Malah logo saya pun guna nama NJWA. Alhamdulillah, ada kesan positif dengan penggunaan nama baharu ini. Orang pun senang untuk cari, tidak kisahlah di internet atau mana-mana saluran muzik,” ujar NJWA yang pernah merangkul anugerah Artis Baharu Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik melalui Anugerah Industri Muzik ke-18.

ALBUM TERBAHARU

Bercerita tentang perkembangannya, NJWA yang mula dikenali pada 2011 sebagai penyanyi dan penerbit lagu memberitahu, dalam tempoh suku pertama 2019 dia akan mengeluarkan album terbaharu.  

“Saya sudah menghasilkan lagu-lagu sendiri. Namun buat masa ini belum putuskan penerbit yang akan bekerjasama secara rasmi. Cuma untuk single terbaharu ini saya akan bekerjasama dengan Darren Ashley. 

“Insya-Allah, mungkin akan bekerja dengan penerbit yang sama menerbitkan lagu Got To Go iaitu Rozhan Razman. Cuma rentak muziknya bukanlah seperti lagu itu, sekadar mengharapkan tuahnya sahaja,” kata NJWA.