Nadia Fharshah atau mesra dengan panggilan Nadia berkata, kali ini dia bersedia untuk menjadi peserta program terbitan Frames Productions itu kerana mahu mengharumkan nama Malaysia di luar negara.

Selain itu, kata Nadia, dia juga mendapat galakan daripada peminat agar mencuba bakat dalam program yang diadili oleh juri Karan Johar, Badshah, Shekhar Ravjiani dan Shalmali Kholgade.

“Sebenarnya saya dipanggil untuk menyertai program itu untuk musim pertama lagi tapi terpaksa tolak sebab sibuk dengan rakaman di studio.

“Tahun lepas, bulan Mei saya dipanggil lagi untuk musim baharu. Uji bakat melalui WhatsApp dan bulan Januari baru-baru ini, mereka kata saya layak dan diminta pergi ke Mumbai pada 4 Mac depan,” katanya.

Nadia yang menarik perhatian pihak di sana kerana sering memuat naik nyanyian lagu Hindi di YouTube akan menjalani beberapa uji bakat sebelum terpilih sebagai 10 peserta yang bakal bertanding kelak seperti Fakhrul Razi dari Brunei, peserta musim pertama pada 2016.

Pemergiannya ke sana akan ditemani oleh Mohd. Ridzuan Mohd. Taib atau D’Wanz, salah seorang anggota Dilhanaridz, bapa dan seorang pemuzik.

Jelas Nadia, jika berjaya melepasi uji bakat itu, dia akan dipilih sebagai salah seorang peserta program Dil Hai Hindustani musim kedua.

“Semasa saringan tempoh hari (menerusi WhatsApp) saya menyanyikan lagu dari filem Kabhi Alvida Naa Kehna dan Kabhi Khushi Kabhie Gham. Ini pun saya pergi kena uji bakat lagi, bila mereka berkenan dengan nyanyian saya baru dipilih sebagai peserta.

“Setakat ini saya banyak membuat persediaan berlatih menyanyikan lagu Lata Mangeshkar, Alka Yagnik dan Anuradha Paudwal. Saya harap semuanya akan berjalan lancar kerana program ini turut disertai oleh peserta dari India. Untuk musim pertama pemenang ialah Haitham Mohammed Rafi dari Oman,” katanya.

Kata Nadia, andai ada rezekinya dalam Dil Hai Hindustani, dia terpaksa mempertimbangkan jawatannya sebagai penjawat awam di sebuah hospital kerana program itu akan berlangsung kira-kira tiga bulan. - UTUSAN ONLINE