Nabil, 34, berkata, jika tiada halangan dan diberi izin Allah, dia dan isteri, Nazirah Ayub akan berangkat ke Tanah Suci pada 7 Jun ini dan kembali ke tanahair sehari sebelum hari raya.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana Allah memberikan rezeki kepada saya untuk membuat umrah lagi pada bulan mulia ini.

“Seperti tiga tahun sebelum ini, saya akan ke Mekah pada 10 malam terakhir Ramadan. Saya sentiasa rindu untuk kembali ke sana dan menghabiskan Ramadan di sana.

“Peluang ini saya ambil bukan sahaja untuk mengubat rindu tetapi juga sebagai salah satu cara untuk saya memperbaiki diri menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui dalam majlis Sembang Santai Jakel Barulah Raya bersama Duta Raya Jakel 2018 di Jakel Mall di sini semalam.

Sementara itu, Nabil mengakui keberangkatan mereka nanti tanpa anak-anak, Naera Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 3.

Kata Nabil, dia dan isteri belum bersedia membawa mereka.

“Kalau ikut hati, saya dan isteri teringin juga membawa mereka bersama. Tetapi mengenangkan mereka masih kecil, kami pendam dulu hasrat tersebut. Hikmahnya, saya mungkin dapat memberi sepenuh perhatian terhadap ibadah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE