Sebenarnya tidak ada satu formula pun yang boleh diguna pakai untuk menentukan kejayaan sesebuah filem seram. Namun itu tidak bermakna mereka harus meminggirkan beberapa elemen penting yang perlu ada dalam sesebuah naskhah.

Pemilihan pelakon, jalan cerita, darjah keseraman dan sinematografi juga perlu dihubung jalin dengan baik bagi memberikan sesuatu yang baharu.

Hakikat itu turut dizahirkan oleh Helfi Kardit yang juga merupakan pengarah filem Santet: Black Magic. Filem yang mendapat sambutan luar biasa di Indonesia ini menyuntik pelbagai elemen segar dan baharu.

“Kita mahu menghasilkan filem yang lain daripada kebiasaan. Selain menyuntik jalan cerita yang berbeza dan elemen seram yang mengejutkan, kekuatan utamanya adalah kepada para pelakon.

“Sengaja kita memilih pelakon daripada United Kingdom, Filipina dan Indonesia sendiri untuk memberikan nilai tambah kepada Santet secara keseluruhannya,” tambah pengarah ini lagi.

Santet yang bermaksud ilmu hitam sebenarnya bukan hal yang asing bagi masyarakat Indonesia. Mengambil inspirasi daripada kejadian benar yang berlaku kepada sebuah keluarga, ini cabaran besar kepada produksi untuk memberikan kelainan.

Pastinya isu santet sudah acap kali dimainkan oleh kebanyakan filem. Yang membezakan pastinya jalan cerita yang berubah serta garapan seni.

Tambah Helfie lagi, pastinya garapan yang dibuat sedikit berbeza daripada kebanyakan filem seram yang ada. Dia sendiri gembira kerana Santet: Black Magic menduduki tangga kedua filem Box Office Indonesia sejak ditayangkan 4 Oktober lalu.


GABUNGAN

MENGGABUNGKAN pelakon dari tiga buah negara berbeza bukanlah satu kerja yang mudah. Namun sikap profesional yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat membuatkan filem ini tidak menghadapi masalah.

Paling manis apabila pelakon Kelly Brook dari United Kingdom sudi bekerjasama selain Jazz Ucampo (Filipina), Marcelino Lefrandt, Ray Sehetapy dan Ayu Dyah Pasha (Indonesia)

Menggunakan 90 peratus bahasa Inggeris, filem ini sudah merentas sempadan bahasa dan mudah ‘dicerna’ oleh sesiapa sahaja.

Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan Kelly Brook sebagai teraju utama, Helfie menyatakan kemunculan model dan pelakon seksi yang pernah tampil dalam beberapa filem Hollywood seperti The Italian Job dan Piranha 3D itu telah menampilkan aksi lakonan yang cukup memberangsangkan.

“Ramai yang bertanya tentang soal Kelly memandangkan dia merupakan pelakon popular dunia. Tak usah bicara soal bayaran memandangkan kos sahaja sudah boleh menghasilkan sebuah filem seram yang lain.

“Kami tidak mahu ia menjadi beban dan apa yang penting adalah impak filem ini agar dapat memberi kepuasan kepada penonton yang menggemari filem-filem bergenre seram,” jelasnya 
lagi.

Sementara itu, Kelly yang juga merupakan bekas kekasih kepada pelakon Hollywood, Jason Statham yang popular menerusi filem The Expendables dan The Transporter itu meluahkan rasa teruja apabila pertama kali dapat terbabit dengan pembikinan filem di Indonesia.

Menurutnya, ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan apabila berlakon dalam filem seram Indonesia serta merasai pelbagai cabaran dan suasana baharu.

“Saya amat menyukai filem-filem seram dari Asia seperti The Ring. Bagi saya, ia sebuah filem yang sangat menyeramkan. Tentang berlakon di Indonesia pula, ia tidak mendatangkan sebarang masalah,” ujar Kelly.

Santet: Black Magic mengisahkan tentang Rendy yang kembali ke kampung halaman bersama isterinya, Laura dan anak mereka. Mereka pulang dari Amerika Syarikat disebabkan bapanya membunuh diri.

Tahap kesihatan ibu semakin membimbangkan dan berlaku beberapa kejadian pelik termasuklah muntah darah, keluar kaca dan paku daripada badan. Rendy tetap menghantar ibunya ke hospital walaupun tahu ia perlu dirawat dengan cara lain.

Tidak cukup dengan itu, dia dan keluarganya juga berhadapan dengan gangguan selain berlakunya beberapa kejadian pelik.

Santet: Black Magic diedarkan oleh Skylar Pictures dengan kerjasama Cashmere Studios dan Empire Film Solution akan memulakan tayangan pada 25 Oktober ini.