Aktiviti itu telah dikongsi menerusi laman Facebook rasminya, ‘Mufti Wilayah Persekutuan’ dan beliau mengucapkan terima kasih kepada warga Astro serta produksi filem atas kerjasama tersebut.

Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Bahagian Melayu & Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

“InsyaAllah ulasan penuh akan kami keluarkan dalam Bayan Linnas selewat-lewatnya malam ini.

“Sesekali tertawa dengan gelagat @zizanrazak869 dalam filem ini,” tulisnya.

Polis Evo 2 menceritakan kisah sekumpulan polis yang terperangkap di sebuah pulau bersama orang awam sekali gus membanteras kumpulan pelampau agama yang melakukan kekacauan di situ.

Sebelum ini, trailer Polis Evo 2 yang berdurasi dua minit menerima kecaman yang teruk kerana memperlihatkan Hasnul Rahmat memakai serban.

Melalui komen yang pernah dilontarkan, netizen menterjemah filem tersebut sebagai simbol yang boleh memburuk-burukkan imej Islam. – UTUSAN ONLINE