PEMENTASAN monolog Ogy dan Erma dinantikan ramai peminat setia dua primadona filem Melayu.

Pementasan ‘Monolog Ogy, Erma’ itu bakal menyaksikan masing-masing akan mengadakan persembahan secara solo selama sejam.

Pada pementasan monolog itu juga, kedua-dua seniwati yang pernah meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) itu akan melakonkan karakter yang akan ditentukan kelak mengikut minat atau kecenderungan masing-masing.

Mengumumkan berita tersebut, Erma berkata, rancangan untuk dia dan Ogy mengadakan lakonan secara monolog bertujuan untuk berkongsi dengan peminat-peminat seni tanah air mengenai pengertian sebenar karakter dan jiwa seorang anak wayang.

Menurut Erma, kelazimannya pementasan monolog dianggap sebagai sebuah persembahan yang sukar untuk dikerjakan oleh pelakon memandangkan tugas itu hanya dilaksanakan oleh seorang individu sahaja.

“Saya dan Ogy akan berlakon secara solo. Saya diberi masa sejam, Ogy juga diberi sejam untuk kami bercakap, melontarkan dialog dan menjadi karakter yang kami pilih untuk dipentaskan. Ia adalah sebuah pementasan yang lain daripada lain,” kata Erma kepada Utusan Online ketika ditemui di majlis sambutan hari lahir ke-55 Ogy di Warung Kami, Jalan Segambut Dalam.

Erma turut memberitahu, keinginan mengadakan pementasan monolog ini juga adalah kerana sudah lama dia tidak berganding bahu dengan Ogy di sebuah pentas yang besar.

“Saya mahu pementasan ini memberikan impak yang besar pada khalayak penonton,” jelas Erma mengenai cita-cita besarnya itu.

Seandainya monolog sulung ini mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat, Erma tidak menolak kemungkinan dia akan mengadakan pementasan yang sama dengan mengundang pelakon-pelakon tersohor negara yang lain pula pada masa depan.

Berdasarkan apa yang dikongsi semalam, Erma memberi bayangan nama-nama besar seperti Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Ahmad Yatim dan Khalid Salleh berada dalam kotak fikirannya untuk diundang menjayakan pementasan berkenaan.

“Itulah hasrat dan cita-cita saya. Kalau boleh saya nak pelawa nama-nama besar ini untuk menjayakan persembahan monolog kerana mereka ini semua adalah pelakon terbaik yang pernah dilahirkan oleh industri. Bayangkan, setiap malam ada sahaja nama-nama besar mengadakan persembahan monolog di Istana Budaya,” ujar Erma menyambung perbualan.

Menyambut cabaran Erma pula, Ogy berkata, dia sangat berbesar hati kerana menerima undangan daripada sahabatnya itu yang disifatkan sebagai idea yang bijaksana.

Pelakon utama filem Azura, Ali Setan dan Puteri itu menegaskan, usaha mementaskan persembahan monolog merupakan perkara yang jarang difikirkan oleh karyawan seni tanah air.

“Saya fikir pada pementasan monolog itu nanti, saya dan Erma bukan mahu mengajar pelakon-pelakon baharu bagaimana untuk berlakon, sebaliknya, kami mahu berkongsi ilmu dan pengalaman kepada mereka,” ujar primadona yang disegani ramai ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya sangat teruja dengan idea Erma untuk berganding bahu dengan Ogy dalam pementasan monolog di pentas berprestij itu.

Menurut Mohamed Juhari, beliau juga yakin peminat-peminat kedua seniwati terbaik negara tidak akan melepaskan peluang untuk menonton monolog yang julung-julung kali diadakan.

“Kami di Istana Budaya tidak sabar-sabar sebenarnya menantikan kehadiran dua primadona filem. Ini adalah pementasan yang akan menemukan dua ‘seteru’ di pentas teater dan filem. Saya yakin Ogy dan Erma tidak akan mengecewakan semua peminat mereka,” kata Mohamed Juhari atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Joe. - UTUSAN ONLINE