MARSHA ketika mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini.

Menurut pelantun lagu Ku Tinggalkan Cinta ini, dia menyedari ramai netizen yang mula memberi komen supaya dia mengenakan hijab.

“Ramai yang meminta saya berhijab terutamanya di ruangan komen di akaun laman sosial saya. Ketika ini saya masih lagi dalam proses mendalami Islam dan mohon doa daripada semua supaya kekuatan itu hadir,” jelasnya.

Marsha yang memeluk Islam pada hujung tahun 2015 baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah bersama suami dan keluarga mentuanya.

Bercerita mengenai pengalamannya menunaikan umrah, jelas anak kelahiran Sabah ini, dia pada mulanya gementar tetapi banyak dibantu oleh suami dan ibu mentuanya.

“Suami tahu rasa gementar saya dan dia bantu. Ibu mentua juga banyak membantu sewaktu menjalankan ibadah umrah.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Malah, ketika saya berada di sana, fikiran memang tenang. Langsung tidak terfikir mengenai kerja,” kata Marsha berkongsi pengalamannya.

Hanya melihat Kaabah di kaca televisyen sebelum ini, pelakon filem Jwanita ni mengakui dia tidak pernah terfikir pun untuk melihat dari dekat apatah lagi memegang Kaabah dengan tangan sendiri.

Malah, rasa teruja itu menimbulkan kerinduan pada dirinya untuk kembali ke Mekah.

“Saya banyak berdoa ketika di sana. Doa supaya dikurniakan zuriat, diperluaskan rezeki terutamanya untuk suami dan orang di sekeliling.

“Saya juga berdoa supaya dapat diberikan peluang untuk kembali ke Mekah,” jelasnya yang turut menggunakan khidmat ustazah sebagai saluran ilmu sebelum menunaikan umrah. - UTUSAN ONLINE