Konsert Soul Sisters anjuran Edd Razhe Entertainment (ERE) itu menjanjikan sebuah persembahan berbeza berbanding konsert-konsert yang pernah dipersembahkan di pentas Istana Budaya.


Penerbitnya, Edd Razhe berkata, pemilihan tiga penyanyi hebat Malaysia itu dibuat berdasarkan reputasi serta kemampuan mereka menyanyi secara langsung termasuk mendendangkan lagu bergenre soul dan R&B.


“Ketiga-tiga artis ini sudah lama mencipta nama di rantau ini dan sudah sampai masanya mereka diberi peluang beraksi dalam konsert berprestij di pentas Istana Budaya.


“Sebagai kelainan, mereka digabungkan buat pertama kali sebagai Soul Sisters sekali gus memberi peluang kepada peminat semua untuk menyaksikan persembahan hebat mereka,” katanya.


Edd ditemui selepas majlis sidang akhbar konsert Soul Sisters di sini hari ini.


Dalam pada itu, Misha berkata, konsert tersebut menyempurnakan impiannya untuk beraksi di pentas yang cukup diidam-idamkan selama ini.


“Bergabung dengan dua nama besar memang cukup mengujakan saya. Dengan kehadiran Noryn dan Sarah, menambah seri dan jiwa konsert yang cukup bermakna ini,” katanya.


Sementara itu, Sarah berkata, konsert itu membawa dia kembali ke kenangan membuat konsert bersama-sama Misha sebelum ini.


“Bila tambah Noryn Aziz, konsert ini memang ‘gila’. Saya sangat teruja dan tidak sabar,” katanya.


Noryn pula berkata, dia tidak menyangka mimpinya menjadi kenyataan kerana sebelum ini dia pernah menyangka karier seninya akan berkubur.


“Lima tahun lepas, rasa macam karier bakal berkubur. Tetapi hari ini, impian menjadi nyata. Bergabung dengan dua suara hebat memang mengujakan saya,” katanya. - UTUSAN ONLINE