Melunaskan impian tampil dengan konsert sulung, Sepuluh Tahun Pertama di Esplanade, Singapura, Imran membuktikan pengalaman yang dikutip selama bergelar anak seni benar-benar mematangkannya.

Memulakan persembahan menerusi lagu pertama yang memperkenal dirinya dalam industri seni, Sudah Tu Sudah, Imran mengakui, dia sebenarnya terlalu gementar untuk tampil dengan konsert solo.

Namun meneruskan persembahan dengan lagu Malu dan Selamat Ulang Tahun, Imran berjaya mengunci halwa telinga peminat dengan lontaran vokal yang cukup bersahaja dan penuh jiwa.

Itu kekuatan anak seni kelahiran Singapura ini. Tiap bait yang lunas dari mulutnya terus menusuk ke hati pendengar. Kita seolah-olah merasai setiap kesedihan atau kegembiraan menerusi barisan aksara yang membentuk lirik cukup indah.

Menjadikan pentas Esplanade sebagai platform menunaikan impian, dia mengambil peluang menyanyikan tiga buah lagu ciptaan arwah bapanya, Ahmad Husaini Ajmain menerusi lagu-lagu Rintihan Hati, Apa Salah Beta dan Musliha, Imran tidak dapat menyembunyikan kerinduan terhadap idolanya itu.

“Bapa banyak memberi inspirasi kepada muzik saya. Dia juga adalah kekuatan saya.

Melihat kejayaan muziknya membulatkan hati saya untuk terus melangkah biarpun peritnya cukup menyakitkan,” katanya.

Tampil berbeza apabila menyanyikan lagu ciptaannya untuk penyanyi Taufik Batista, Sesuatu Janji, Imran menyerlahkan sisi humornya. Bergema dewan dengan gelak tawa audiens melihat keletah spontannya.

Tentu sahaja yang benar-benar menjadikan konsert tersebut cukup istimewa adalah lontaran vokal dan kawalan suaranya yang cukup hebat antaranya lagu-lagu seperti Jika Kau Pergi, Di Kalung Kasihan dan Ghaibmu yang benar-benar menaikkan bulu roma peminat.

Menyanyikan lagu duetnya, Senantiasa Merinding secara solo, sesekali Imran bercerita tentang susur galur perjalanan seninya. Sejarah hidup bergelar anak seni dikembangkan menjadi jalan cerita pada konsert yang memakan masa dua jam itu.

“Saya pernah ditipu, dikritik dan dikecam. Tetapi itu semua asam garam kehidupan anak seni malah mematangkan saya dan yang menjadikan diri dan muzik saya sekarang.

“Saya bukan lahir sebagai penyanyi, itu bukan impian saya. Namun sedikit demi sedikit semua itu membuahkan minat dan akhirnya saya jatuh cinta dengan siapa saya sekarang.

“Saya mahu terus menyanyi dan mencipta lagu serta menulis lirik yang memberi inspirasi kepada anda semua,” katanya yang menerima tepukan gemuruh daripada peminat.

Imran juga menyanyikan lagu baharunya, Intan dan Perak. Lagu bergenre rancak dengan lirik yang cukup puitis itu menerima respons positif daripada peminat.

Menutup tirai konsert Sepuluh Tahun Pertama, Imran menyanyikan lagu berhantunya, Seribu Tahun. Emosinya bercampur baur antara terharu dan teruja. Sesekali dia mengesat air matanya yang tumpah.

Semoga nama Imran Ajmain akan terus kekal dalam lipatan sejarah seni sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik. Dia satu dalam sejuta, dialah pemilik suara emas, Imran Ajmain.

Intan dan Perak taruhan Imran

Membuka gelanggang tentang album baharu, keriangan dan keterujaan jelas terpencar di relung mata penyanyi berusia 37 tahun ini terutama apabila berbicara tentang album kelimanya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Sudah lama sebenarnya saya tidak tampil dengan lagu solo yang agak berat khususnya dari segi lirik. Intan dan Perak merupakan lagu yang cukup bermakna apatah lagi lagu itu merupakan single pertama daripada album kelima saya.

“Sebelum ini saya tampil berduet dengan penyanyi berbakat besar, Najwa Mahiadin menerusi lagu Senantiasa Merinding. Penerimaan peminat positif dan itu sudah buat saya gembira. Kerjasama itu menjadi bagi saya.

“Lagu Senantiasa Merinding dan Di Kalung Kasihan juga saya akan muatkan dalam album baharu itu nanti selain beberapa lagu baharu termasuk Intan dan Perak,” katanya.

Meluahkan keinginan untuk berkerjasama dengan penyanyi lain, Imran mahu muziknya diberi peluang. Tidak kisah sama ada penyanyi senior atau muda, dia percaya muziknya boleh berkembang dengan sentuhan suara dan idea daripada anak seni lain.

“Saya teruja apabila ada beberapa penyanyi yang popular di Malaysia meminta secara peribadi untuk mendapatkan lagu ciptaan saya.

“Saya rasa Senantiasa Merinding banyak membuka peluang membuktikan muzik saya.

“Namun saya tidak boleh dedahkan siapa kerana semuanya masih dalam proses perbincangan tetapi saya benar-benar teruja kerana dia seorang anak seni yang memang cukup popular. Apatah lagi, mencipta lagu untuknya merupakan satu kepuasan untuk saya juga,” katanya.

Kekal prinsip seni

BIARPUN namanya tidak diulit populariti menggunung, Imran tidak pernah meletakkan noktah kepada dunia seninya. Perjalanan sedekad yang ditempuh memberinya ruang dan peluang untuk mempelajari perkara baharu saban hari.

Sedar perjalanan seninya sukar, Imran sentiasa mengingatkan diri untuk terus kuat apatah lagi ada sahaja penyanyi baharu menjengah jendela seni umpama cendawan tumbuh usai hujan membasah bumi.

Genre muzik yang sering bertukar juga sedikit sebanyak pernah menggusarkan hatinya namun dia tidak mahu mengubah prinsip seni hanya untuk mengejar puncak populariti.

“Dalam pasaran dan industri seni, kita seolah-olah diberi satu standard untuk dipatuhi. Dahulu mungkin kita perlu menang anugerah atau program realiti untuk popular. Sekarang, media sosial menjadi tanda aras kehebatan seseorang artis. Itu standard atau trend industri seni.

“Kita kena kuat. Dahulu saya sering tanya kepada diri, perlukah saya tukar permainan saya? Perlukah saya menyanyi lagu ‘meleleh’ lagi, tukar lirik dan sebagainya? Tapi saya tolak semua itu. Saya kena yakinkan diri dengan perkara yang saya buat.

“Mungkin orang pandang sinis cara saya tetapi saya tidak mahu mengikut trend semasa. Saya sekarang lebih matang dan saya mahu tampil berbeza. Banyak sudah saya lihat dan belajar, itu semua mendewasakan,” katanya yang ditemui usai persembahan.

Mungkin bagi segelintir peminat seni, lagu Seribu Tahun adalah satu-satunya karya yang menjadi daripada penyanyi ini sehingga mereka seakan-akan lupa sebarisan karya hebat yang cukup indah melodi dan liriknya membentuk keperibadian Imran dalam industri seni.

Tidak terkesan lagi dengan skeptikal pemikiran sebegitu, Imran dengan rendah hati menerima kenyataan ada peminat yang mengenalinya dengan hanya satu lagu. Dia melihat semua itu sebagai cabaran yang terkandung peluang keemasan meluaskan lagi pengaruh muziknya.

“Dahulu saya tidak boleh terima itu semua. Saya tidak lihat diri saya sebagai penyanyi one hit wonder. Tetapi jika lihat lebih dekat, itu semua peluang. Saya tidak akan berhenti menulis dan akan terus mencuba.

“Lagu sekarang bertahan dalam jangka masa empat hingga lima bulan sahaja. Kita perlu pantas untuk memenuhi permintaan halwa telinga peminat. Kalau kita betul-betul mahu buat, teruskan. Jangan fikir popular semata-mata. Tak payah berjuta-juta tontonan pun saya sudah gembira,” katanya.