Benar apa yang dikatakan oleh lelaki yang satu ini memandangkan isu penyebaran karya tanpa kebenaran semakin berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jika dahulu mereka menggunakan cakera padat (CD) bagi menyebarkan filem tetapi sekarang situasinya berubah apabila rakaman secara terus dibuat melalui media sosial.

Terbaru filem Munafik 2 juga berhadapan dengan masalah yang sama apabila rakaman tersebut dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Lebih parah ia disebarkan tanpa rasa bersalah meskipun filem berkenaan masih ditayangkan.

Bagi Syamsul, dia tidak mahu terus menerus membiarkan industri disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab. Jelasnya dia mahu bertindak bukan untuk Munafik 2 semata-mata sebaliknya kepada seluruh industri.

“Sebab itu saya mahu semua penerbit filem bersatu hati dalam menangani hal ini. Saya faham dalam kalangan mereka mungkin ‘hidup’ berpuak-puak tapi kita kena bersatu dalam membanteras isu ini.

“Sampai bila kita nak lihat karya kita terus disebarkan tanpa rasa bersalah? Masalah ini bukan sahaja akan menjejaskan kutipan sebaliknya memberikan gambaran yang kurang baik kepada industri,” tegasnya.

Baru-baru ini, Syamsul melalui Skop Production Sdn. Bhd. telah mengambil tindakan mahkamah kepada seorang pengguna laman sosial. Tindakannya memuat naik rakaman filem Munafik 2 dan menyebarkan benar-benar mencabar mereka.

Jelasnya, permintaan mereka untuk lelaki berkenaan menurunkan atau membuang video tersebut tidak mendapat balasan positif malah pihak tersebut mencabar mereka pula untuk mengambil tindakan.

Sudah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak baru-baru ini, kes tersebut akan disebut semula dan dibicarakan bagi memberikan pengajaran setimpal di bawah Akta Hak Cipta 1987.

TAMBAH pengarah ini lagi, dia mengharapkan agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan beberapa badan lain untuk mengambil tindakan dalam hal ini.

Tegas beliau, Finas seharusnya membantu mereka mengatasi virus baharu kepada industri perfileman tanah air atau memberikan jalan untuk mereka (penerbit) melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini.

“Jika menyebutkan sahaja Finas, kita akan teringatkan forum-forum yang diadakan atau dana semata-mata. Sedangkan badan ini juga sepatutnya menjadi pelindung kepada filem-filem tanah air.

“Mungkin sudah tiba masanya Finas bergerak bersama-sama dengan karyawan seni untuk mengheret pelaku. Bukan hanya untuk filem saya tetapi juga untuk semua,” kata Syamsul lagi.

Antara tuntutan yang dibuat oleh Skop Production terhadap pemilik akaun itu termasuklah menghalang pihak tersebut daripada memuat naik dan menyebarkan tanpa keizinan.

Dia juga dihalang daripada mencetak semua filem tersebut sama ada sebahagian ataupun dilarang menjual, menawar, mendedahkan dan mengedarkan dalam apa bentuk sekali pun.

Bagi soal ganti rugi pula, Syamsul menyerahkan perkara tersebut kepada mahkamah bagi menentukannya.

Tambah Syamsul, dia bukan melakukan tindakan saman kerana isu kutipan Munafik 2 berkurangan sebaliknya mahu memberikan pengajaran kepada masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dengan karya intelek.

“Kalau kita tidak bertindak mereka akan terus memperlekehkan industri seni. Selama ini mereka anggap perkara begini tidak serius dan sekarang kita perlu bersama-sama bertindak menanganinya,” katanya lagi.