Menurut satu kenyataan yang dimuat naiknya di laman sosial Facebook baru-baru ini, dia pernah diberikan peranan sebagai watak utama namun cuma dibayar dengan harga yang rendah iaitu RM1,500 sahaja untuk menjalani penggambaran selama dua hari.

Pelbagai pihak mempertikaikan perkara tersebut sehingga menuduh Jalil Hamid seperti tidak bersyukur namun ramai yang tidak mengetahui bahawa golongan artis bukanlah golongan yang menerima gaji bulanan seperti sama seperti penjawat awam mahu pun swasta.

Hal ini kerana pendapatan hanya diperolehi berdasarkan projek lakonan yang diterima dan baru-baru ini, kecoh pula di dalam beberapa grup Whatsapp pelakon tambahan tempatan mengenai isu yang sama.

Menurut seorang ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Boy Wan, 31 atau nama sebenarnya Che Norizuan Sha Che Mohd, terdapat sebuah produksi filem mahu menjalankan penggambaran di Perak tidak lama lagi mahu membayar RM45 sahaja untuk pelakon tambahan.

"Sedangkan kalau ikut nilai sebenar pembayaran bagi pelakon filem yang tidak dialog adalah sekitar RM100 jika terus melalui produksi dan RM80 melalui agensi. Bagi yang berdialog pula, nilainya adalah sekitar RM120 hingga RM150.

"Namun apabila pihak produksi sendiri menawarkan gaji hanya RM45 sahaja sehari, ternyata ada sesuatu yang tidak kena dan tidak masuk akal. Entah berapa banyak nilai yang pihak pengurusan mahu kaut untuk keuntungan peribadi," katanya kepada Utusan Online, hari ini.

Dalam pada itu, Boy Wan menegaskan, perkara ini bukan kali pertama berlaku dalam industri seni tempatan malah artis veteran seperti Wan Maimunah turut pernah mengalami perkara sama.

"Lebih malang lagi kalau selepas penggambaran berakhir, produksi tersebut mendiamkan diri dan tidak memberi sebarang pembayaran kepada para pelakon serta krew yang terlibat.

"Sehubungan itu, saya berharap perkara ini dapat dipandang serius oleh para pelakon baharu dan kepada pihak produksi yang mahu menghasilkan sesuatu karya, tolonglah jangan aniaya orang-orang yang bekerja untuk anda," katanya. - UTUSAN ONLINE