Berita gembira itu disahkan menerusi laman Twitter rasmi Kensington Palace, hari ini.

Bayi kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan pada Mei lalu itu juga bakal menjadi pewaris ketujuh takhta Diraja Britain.

“The Duke dan Duchess of Sussex sangat berbesar hati mengumumkan berita kehamilan ini. Mereka begitu menghargai sokongan orang ramai sejak disatukan Mei lalu.

“Mereka teruja untuk berkongsi berita gembira ini dengan orang ramai,” ujar pengendali laman Twitter rasmi itu.

Harry dan Markle kini sedang berada di Australia sempena jelajah luar negara mereka yang pertama sebagai pasangan Diraja.

Ternyata perkhabaran tersebut telah menjadi topik perbualan utama di laman sosial dan rata-rata peminat pasangan itu dari seluruh dunia memberikan kata-kata positif serta mendoakan kesihatan Meghan dan bayinya.

Pasangan bahagia itu berkahwin pada 19 Mei lalu di Gereja St George, Istana Windsor, United Kingdom.

Majlis tersebut dihadiri 600 tetamu termasuklah Oprah Winfrey, David dan Victoria Bechkam, Priyanka Chopra dan ramai lagi. - UTUSAN ONLINE.