Allahyarham Megat Nordin, 55, yang turut menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini, disahkan meninggal dunia pada pukul 11.50 pagi ini dipangkuan isterinya, Khoirunnisa Madiyoh, 48.

Menurut Khoirunnisa, arwah yang sebelum ini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini dibawa pulang ke rumah bapanya di Kampung Kenali petang semalam atas permintaannya sendiri.

“Malam tadi arwah mengadu sakit-sakit. Pagi ini selepas memandikan arwah, saya lihat dia kepenatan dan tidak lama kemudian arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenali selepas solat Jumaat.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan Megat Nordin yang juga peserta Kilauan Emas 2014 hanya mampu terlantar di rumahnya di Kampung Chepa Kedai Lalat, di sini akibat penyakit yang dihidapinya. - UTUSAN ONLINE