Beri apa sahaja watak, dia mampu melontarkan jiwa serta emosi dengan cukup sempurna dan sentiasa mencuri hati peminat.

Bersua bicara dengan Maya, pasti ada sahaja cerita yang dikongsi. Orangnya cukup bersahaja dan kelakar sebenarnya. Dia tidak sombong seperti tanggapan segelintir pihak.

Namun jika kita menyelam lautan seni yang sudah direnangi pelakon ini, dia tidak pernah walau sekali mengambil tawaran untuk berlakon drama atau telefilem di layar kaca.

Keunggulannya sebagai pelakon hanya dibuktikan di pentas teater dan layar perak.

Malah pelakon ini sendiri mengakui, dia tidak pernah sekali pun teringin untuk berlakon dalam drama mahupun telefilem.

“Dulu pernah sekali Erma Fatima menawarkan telefilem untuk saya, ketika itu saya hampir bersetuju. Tetapi disebabkan komitmen ketika itu, saya terpaksa melepaskan tawaran itu ke tangan orang lain.

“Bukan menolak atau berlagak untuk tidak berlakon drama cuma saya memang tak pernah mempunyai keinginan ke arah itu. Saya lebih suka berlakon di pentas teater dan filem.

“Kalau hendak kata penerbit takut untuk memberi tawaran berlakon, saya tidak rasa begitu. Cuma saya memang memilih untuk tidak berlakon drama,” jelas pelakon berusia 38 tahun ini.

Jauh di sudut hati, pelakon ini mengakui, dia sebenarnya sudah bosan dengan dunia glamor. Dia sudah tidak punya hati untuk tampil berhias cantik ke majlis-majlis hiburan.

“Sekarang jarang pihak panggil saya ke majlis-majlis pelancaran produk. Mungkin sebab saya sendiri jarang untuk memenuhi undangan-undangan sebegitu.

“Saya sebenarnya sudah bosan dengan dunia glamor. Kita kena tampil cantik, anggun dengan bulu mata dan sebagainya.

“Itu bukan saya. Ada orang yang suka untuk tampil berhias sebegitu tetapi diri saya pilih sebaliknya.

“Saya juga kurang aktif di laman-laman sosial. Ada orang bangun pagi, terus ambil gambar tapi saya tidak.

“Ramai peminat pelik, saya pelakon tetapi di media sosial tidak popular,” kata pemenang dua kali trofi pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ini.

Percaya dengan sokongan peminat yang berkualiti, Maya tidak terlalu memberi perhatian untuk meraih populariti. Bagi pelakon filem Cun ini, dia hanya mahu memberikan persembahan terbaik menerusi lakonannya.

Dia memilih untuk melakukan perkara yang memberi keselesaan kepada dirinya dan sama sekali enggan mengubah diri untuk menjadi orang lain. Paksinya kekal untuk menjadi siapa dia sebenarnya.

“Kalau hendak cakap tentang impak lakonan, mungkin itu adalah sedikit sebanyak menyumbang kepada populariti. Tetapi saya tidaklah sepopular artis-artis lain yang lebih ramai peminat.

“Cuma peminat saya terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Baik kanak-kanak, belasan tahun sehingga warga emas, semuanya meminati saya sejujur hati mereka.

“Peminat saya bukan jenis histeria tetapi mereka sangat setia dan menyokong saya seadanya. Sebab itu saya sentiasa memilih karya terbaik untuk tidak mengecewakan mereka,” katanya yang mengakui agak selektif dalam memilih skrip filem.

Lagu duet dengan Awi Rafael

Tidak hanya bergelar pelakon, Maya juga berjaya sebagai penyanyi dengan kelahiran tiga albumnya sebelum ini. Kekangan waktu membataskan dia memberi fokus terus kepada dunia nyanyian.

Bakal tampil dengan single baharu tidak lama lagi, kali ini Maya bergandingan dengan pemuzik dan penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael untuk lagu duet tersebut.

Menyerahkan sepenuhnya pemilihan lagu dan lirik kepada Awi, Maya yakin penyanyi itu pasti mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam mencari melodi yang bersesuaian dengan kemampuan vokalnya.

“Lagu baharu ini bergenre balada kerana ramai peminat yang bertanyakan bila saya mahu tampil dengan lagu begitu. Jadi alang-alang saya memang rapat dengan Awi, mudah untuk kami bekerjasama.

“Awi merupakan komposer dan penyanyi yang baik. Tidak salah jika saya menggunakan kepakarannya untuk menghasilkan lagu. Lagipun kami selalu terlibat dalam siri jelajah bersama,” katanya yang popular dengan lagu Erti Cinta.

Berbicara soal lakonan, Maya juga bakal beraksi di pentas Panggung Bangsawan Melaka pada 20 Oktober hingga 21 Oktober ini menerusi pementasan teater Tun Fatimah bawah arahan Lokman Ghani.

Pelakon kelahiran Jerman ini bakal bergandingan dengan Remy Ishak yang memegang watak Sultan. Mengakui teruja untuk berlakon dengan Remy, Maya kini giat berlatih untuk membawakan watak Tun Fatimah itu.

“Remy seorang pelakon yang baik dan kami tidak perlu mencari keserasian lagi. Lagipun sudah banyak filem dan teater yang menggandingkan kami berdua, tak susah bekerja dengan dia.

“Teater ini walaupun jalan ceritanya agak berat tapi menerusi arahan Lokman, saya percaya dia akan memasukkan beberapa elemen komedi yang lebih ringan untuk dihadam penonton nanti,” katanya yang bakal muncul dengan filem baharu, Olympic Dream.