Tatkala menghadiri tayangan perdana filem seram tersebut yang diadakan Isnin lalu, Mawi mendedahkan, saat paling menyeramkan adalah sewaktu menyaksikan kemunculan dirinya dalam naskhah arahan Syamsul Yusof itu.

“Kalau orang lain berdebar untuk menantikan babak seram filem ini, saya pula lebih seram untuk melihat kelibat saya berlakon.

“Maklumlah, dah lama tak muncul dalam mana-mana produksi, macam-macam hal boleh berlaku. Itu belum lagi mendengar maklum balas penonton terhadap lakonan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Mawi mengharapkan lakonannya diterima baik oleh penonton Munafik 2 yang bakal menjengah pawagam esok.

Menceritakan penampilannya kali ini sebagai pengendali sampan, Mawi terpaksa mengawal dirinya daripada membuat lawak yang tidak disengajakan.

“Tak dinafikan, saya alami kesukaran untuk menghindarkan diri daripada membuat lawak kerana karakter itu seorang yang bersikap tegas.

“Saya bukannya merancang untuk melawak, tetapi elemen humor itu muncul secara spontan. Apatah lagi ketika berlakon di sisi rakan-rakan baik,” ujar penyampai radio Zayan FM itu. - UTUSAN ONLINE